Ambulans Laut Sedia Berkhidmat

Oleh Norlia Ramli
25ambulan

Bot ambulans laut yang berkelajuan 25 knot memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 15 kes setiap bulan di Langkawi, Kedah.

LANGKAWI 25 Ogos - Pesakit di daerah ini boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi berasak-asak untuk menaiki bot laju dengan penumpang lain bagi mendapatkan rawatan hospital di tanah besar.

Perkhidmatan bot ambulans laut yang beroperasi sejak Februari lalu membolehkan kerja-kerja pemindahan pesakit yang berada di Hospital Langkawi menjadi lebih mudah, lancar dan cepat.

Sejak beroperasi, ambulans laut yang berkelajuan 25 knot itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 15 kes setiap bulan.

Bukan itu sahaja, ambulans laut ini dilengkapi dengan kemudahan dua tempat untuk membawa pesakit dewasa dan satu untuk kanak-kanak, selain dua bilik untuk kakitangan hospital dan dua lagi untuk pengendali ambulans laut tersebut.

Pengarah Urusan JMV Tradetech, Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata, dengan adanya kemudahan ambulans laut ini, pesakit tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri penumpang jika perlu mendapatkan rawatan segera di hospital lain di tanah besar.

"Perkhidmatan ini memberi keselesaan kepada pesakit dan mereka tidak perlu berasak-asak di dalam feri penumpang.

"Pesakit juga akan dibawa segera berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu lama dan perlu mengikut jadual feri penumpang," katanya di sini baru-baru ini.

Syarikat tersebut mendapat kepercayaan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk menjalankan perkhidmatan tersebut dengan menyediakan sebuah ambulans laut khas untuk membawa pesakit.

Kata Ku Azhar, perkhidmatan tersebut diharapkan dapat memberi keselesaan kepada penduduk di saat-saat berlaku kecemasan.

"Dengan perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapat rawatan dan merasa lebih selesa. Paling penting, mereka tidak lagi malu dilihat penumpang lain.

"Sebagai anak Langkawi, saya merasa bangga apabila dipilih untuk menjalankan perkhidmatan ambulans laut ini bagi membawa pesakit yang bermastautin di sini. Perkhidmatan ini juga memberi kemudahan kepada pelancong yang ditimpa musibah," katanya.

Sumber : UTUSAN