Rampas Tanah Jika Tanam Ketum

26ketum
ALOR SETAR 26 Jun – Tanah sawah yang disalahgunakan oleh individu atau pemilik dengan menjadikannya sebagai ladang ketum akan dirampas kerana menyalahgunakan permit mengusahakan sawah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri tidak bertolak ansur sebaliknya akan mengambil tindakan untuk membanteras penyalahgunaan daun ketum.

Beliau berkata, itu adalah antara cadangan yang akan diambil sementara menunggu keputusan Kerajaan Pusat mengambil tindakan berhubung kesalahan ketum dengan memindahkannya kepada akta dadah berbahaya berbanding akta racun sekarang ini.

“Ada seksyen tertentu yang membenarkan kita merampas tanah kerana melanggar syarat, khususnya dengan penanaman ketum. Kita akan kuatkuasakan segera sebagai tanda amaran kepada mereka yang menanam ketum, contohnya menggunakan tanah permit bendang dan Kerajaan tidak akan teragak-agak merampas tanah berkenaan.

“Kita sasarkan kawasan wujud aktiviti perladangan dan pemprosesan ketum, namun yang tanam satu atau dua pokok juga tetap dikira melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau menjelaskan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga sudah mengenal pasti sesiapa yang melanggar syarat-syarat ini.

“Kita juga turut mendapat maklumat daripada Pejabat Tanah dan Galian kerana mereka yang mengeluarkan lesen untuk tanah-tanah ini termasuk tanah bertujuan khas untuk penanaman.

Justeru, jika kita dapati atas tanah selain padi ada juga pokok ketum itu adalah satu kesalahan.

“Kawasan yang banyak melakukan kesalahan adalah di kawasan saya iaitu Jerlun dan Kubang Pasu,” ujarnya.

Menurutnya, undang-undang sedia ada walaupun boleh dikenakan tangkapan terhadap pesalah ketum tetapi sekadar denda dan pesalah tetap lakukan kesalahan sama berulang kali serta tiada tambahan dari segi hukuman.

“Sebab itu kita lihat penting untuk mempercepatkan proses akta baru jadikan satu kesalahan bawah akta dadah merbahaya di peringkat Dewan Rakyat.

“Setakat ini, penanaman ketum di peringkat negeri sudah dianggap kesalahan walaupun belum dikuatkuasakan akta dan kita akan buat kajian kes dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang wajar,” katanya.

Sumber: UMTK