148 KELUARGA TERIMA LMS


5148
KUALA JERLUN 5 Mac - Seramai 148 keluarga di Kampung Kuala Jerlun menerima surat Lesen Menduduki Sementara (LMS) daripada kerajaan negeri, semalam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, penduduk di kawasan berkenaan telah menetap di situ lebih 50 tahun.
“Oleh kerana terdapat permintaan daripada mereka untuk mendapatkan lesen ini, jadi saya arahkan pejabat daerah untuk buat sukatan tanah.
“Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan berusaha untuk mendapatkan geran yang sah kepada penerima-penerima ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Lesen Menduduki Sementara (LMS) di Kuala Jerlun, semalam.
Menurutnya, beliau juga meminta semua pihak agar bergerak dalam satu barisan dalam menempuhi cabaran yang datang.
“Kita perlu bersatu bagi memastikan parti sedia ada terus mentadbir negeri ini bagi membolehkan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan.
“Ini kerana setiap tahun kerajaan pusat memperuntukkan RM6 juta kepada ahli parlimen untuk membangunkan kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Jerlun, Hasnizan Shafie, 46, berkata, beliau bersyukur kerana akhirnya mendapat LMS tersebut.
“Selama 40 tahun kami memperjuangkan tanah ini dan akhirnya di bawah pimpinan Datuk Abu Hasan Sarif dan Datuk Othman Aziz impian kami semua tercapai,” katanya.
Bagi Rusnaini Othman, 40, pula, dia bangga dan lega kerana hasil titik peluh nenek moyang mereka akhirnya terbalas.
“Asalnya dulu kawasan ni adalah laut dan tok nenek kami yang mula-mula teroka, jadi hari ni walaupun hanya lesen sementara, tapi kami tetap bersyukur,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Wa Ibrahim, 64, berkata, dia membuat permohonan LMS berkenaan sejak 2015.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama pemimpin tempatan yang setia mendengar keluhan penduduk di bawah ni,” katanya.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar