KEDAH TERUS MARTABATKAN AL-QURAN


13kedah
ALOR SETAR 13 Mac - Kerajaan Negeri Kedah akan terus memartabat dan mengekalkan penghayatan al-Quran melalui pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu agama di negeri ini dengan menyediakan pelbagai jenis peruntukan dan bantuan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peruntukan dan bantuan itu diluluskan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tahun lalu.
“Dalam memastikan usaha ini berjaya, banyak sekolah agama telah dan akan dibina kelak. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM4 juta bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah.
“Selain itu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian dana pengurusan bernilai RM2,000 sebulan kepada 11 pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia. Bagi 20 pondok dan 64 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah pula menerima dana khas berjumlah RM10,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri tahun ini di Wisma Darul Aman, malam tadi.
Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana RM3 juta untuk Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Masjid bagi membolehkan kariah dan ummah sekitar kawasan masjid menggunakan dana bantuan itu untuk melakukan sebarang aktiviti keagamaan.
Beliau berkata, budaya dan amalan membaca al-Quran haruslah dipertahankan dengan segala kudrat yang ada demi melihat negeri, Jelapang Padi ini mampu melahirkan generasi unggul yang dinamakan sebagai ‘Generasi Al-Quran’.
“Kita harap dengan peruntukan dan bantuan yang diberikan ini dapat meningkatkan kesedaran yang mendalam dalam kalangan masyarakat Islam terhadap penghayatan Islam secara menyeluruh dan holistik berteraskan kitab al-Quran,” katanya.
Sumber : Sinar