KEDA DEKATI MASYARAKAT LUAR BANDAR


31keda
NAPOH 31 Mac - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh di sini menjadi lokasi pertama program Jelajah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Di Hati Rakyat yang berlangsung semalam.
Pengurus Besar Keda, Arifuddin Habib berkata, program berkenaan merupakan salah satu medium pendampingan Keda dan pemimpin tempatan dengan masyarakat luar bandar khususnya penduduk di desa Keda.
“Tujuan program ini diadakan untuk menguar-uarkan kepada orang ramai tentang Keda dan menawarkan produk usahawan Keda pada harga berpatutan,” katanya ditemui pada program berkenaan, hari ini.
Menurutnya, antara program yang dijalankan sepanjang siri jelajah berkenaan adalah jualan murah barangan dapur, jualan produk usahawan Keda, pengambilan pelajar Kolej Keda, aktiviti pembangunan modal insan dan banyak lagi.
“Jualan murah yang kita adakan ini menawarkan harga barangan yang lebih rendah dari harga pasaran untuk beri kesempatan kepada penduduk beli barang keperluan rumah,” katanya.
Arifuddin berkata, selepas RTC Napoh, Keda akan meneruskan jelajah mereka ke 14 lagi lokasi terpilih di seluruh Kedah.
“Esok kita akan berada di Baling dan Pendang untuk menyantuni penduduk di sana,” katanya.
Tambahnya, sejak ditubuhkan pada 28 Mei 1981, pelbagai aktiviti pembangunan yang meliputi pembangunan infrastruktur, usahawan dan modal insan telah dilaksanakan Keda di negeri ini.
“Antara projek pembangunan yang paling signifikan dengan Keda suatu masa dahulu adalah membina dan menaik taraf jalan yang menghubungkan kawasan luar bandar di negeri ini.
“Ia melibatkan pembinaan jalan dari Pekan Changlun ke Pekan Kuala Ketil sejauh 138 kilometer yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di luar bandar,” katanya.
Terdahulu, Arifuddin mengiringi Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar bagi menyempurnakan pelancaran Jelajah Keda Di Hati Rakyat.
Turut berlangsung, majlis perasmian pejabat urusan Syarikat EPI Success Resources Sdn Bhd dan Pertandingan Petanque Peringkat Kebangsaan.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar