MAJLIS HASANAH BERSAMA RAKYAT


20MAJLIS
JERLUN 20 Mac - Tanpa mempedulikan cu­aca terik, lebih 5,000 individu terdiri daripada pel­bagai latar belakang yang majoritinya golongan berpendapatan rendah (B40) menghadiri majlis Hasa­nah Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Putat di sini, baru-baru ini.
Program yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz itu ternyata berjaya menarik kehadiran penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti antaranya perkhidmatan percuma, bengkel pembangunan modal insan, pameran mengenai inovasi dan akademik serta penjualan produk-produk tempatan.
Dalam ucapannya, Othman menzahirkan penghargaan kepada Kha­zanah Nasional Berhad (Khazanah) kerana telah memilih kawasan Parlimen ini sebagai destinasi keempat penganjuran program tersebut dengan kerjasama Yayasan Hasanah (Hasanah) serta beberapa yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Saya dimaklumkan program Hasanah Bersama Rakyat merupakan acara lanjutan daripada Hari Hasanah yang bermula pada tahun lepas dan akan diteruskan penganjurannya setiap tahun menjelang September nanti.
“Bertepatan dengan maksud Hasanah yang bererti kebaikan, penganjuran Hari Hasanah diadakan bagi mengajak rakyat untuk bersatu tenaga melakukan kebajikan bagi manfaat umum. Namun dalam menyuburkan amalan berbuat baik, Khazanah berpendapat perlu ada lebih banyak acara berkaitan diadakan dan di situlah timbulnya idea untuk mewujudkan program Hasanah Bersama Rakyat ini,” katanya.
Antara aktiviti dan pameran menarik yang disediakan dalam program selama sehari itu terma­suklah pemeriksaan kesihatan, gigi, mata dan klinikal payudara oleh Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, MyAid Malaysia, Optometri Zaharah serta Majlis Kanser Nasional (Makna).
Selain itu terdapat juga pame­ran mengenai seni mempertahankan diri, demonstrasi masakan, bengkel keusahawanan, kaunseling kewangan serta eksperimen sains untuk kanak-kanak.
Para pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati hida­ngan secara percuma, diberi baucar untuk membeli barangan dari usahawan tempatan serta memenangi cabutan bertuah bernilai kira-kira RM30,000.
Pada majlis sama, Khazanah turut berbesar hati untuk memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada sekolah berkenaan.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan