SULTAN KEDAH RASMI MASJID JAMEK ISTIQLAL


16sultan
PADANG TERAP 16 Mac - Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Jamek Istiqlal di Kuala Nerang dekat sini yang kemudian diisytiharkan secara rasmi sebagai Masjid Tengku Sarafudin Badlishah.
Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Keberangkatan tiba baginda pada tengah hari itu disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Pendidikan yang juga Anggota Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sultan Sallehuddin seterusnya melafazkan titah perasmian dan menurunkan tandatangan pada plak perasmian di majlis yang dihadiri lebih 1,000 penduduk setempat itu.
Masjid yang mula beroperasi pada Oktober 2016 di atas kawasan seluas 0.4 hektar dengan kos RM4 juta itu mampu menampung lebih 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Terdahulu Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak kariah bawah 12 tahun sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah lain di masjid tersebut.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadhil Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
Sumber : Sinar