PROGRAM RFL KUMPUL BARANGAN KITAR SEMULA


20program
ALOR SETAR 20 Mac - Sebanyak 184,000 kilogram barangan kitar semula telah dikumpul melalui program Recycle For Life (RFL) yang diperkenalkan syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Mhd Saiful Anuar Zainal berkata, di bawah program itu, ganjaran nilai tunai akan dimasukkan ke dalam kad pintar hasil daripada penyerahan barangan kitar semula dan setakat ini, ia membabitkan pemberian nilai tunai melebihi RM100,000.
Kad pintar tersebut membolehkan pengguna membuat pembelian di mana-mana pasar raya terpilih di samping menggalakkan amalan kitar semula di kalangan masyarakat dan generasi akan datang.
Program ini, melibatkan penyertaan 599 sekolah, agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara melalui pengagihan 3,386 kad pintar.
“Jumlah ini amat memberangsangkan dan tahun ini kita menyasarkan penyertaan 400 sekolah di Kedah dalam program itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Recycle For Life (RFL) di Keriang Hill Resort, di sini, hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Mhd Saiful berkata, penyertaan lebih banyak sekolah dalam program itu akan membantu menjana pendapatan dan mengurangkan sisa pepejal di pusat pelupusan sampah.
Bagi menjayakan program itu, setiap sekolah akan mempunyai sangkar kitar semula untuk membolehkan pelajar memasukkan barang buangan mengikut kategori sebelum ditimbang dan dibayar mengikut harga pasaran semasa bagi bahan terbuang itu.
Terdahulu, Tunku Puteri Intan Safinaz menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara E-Idaman dan Yayasan Sultanah Bahyah (YSB), Kerajaan Negeri Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Baginda turut menyampaikan anugerah RFL bagi kategori komuniti kepada Taman Tunku Sarina, Jitra, kategori Rumah Ibadat (Masjid Al-Ikhlas) dan kategori sekolah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang dan Sekolah Kebangsaan Pida 3.
Sumber : Sinar