TIADA KEPERLUAN TAMBAH SJKC


27tiada
PADANG TERAP 27 Januari – Kementerian Pendidikan hari ini menjelaskan bahawa tidak ada keperluan terdesak untuk menambah bila­ngan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) seperti tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian terperinci akan dilakukan sebelum pembinaan sesebuah sekolah yang akan mengambil kira beberapa faktor termasuk dari segi kepadatan penduduk, pertumbuhan ekonomi setempat dan kesesakan sekolah yang sedia ada di kawasan tersebut.
Selain itu juga, katanya, kerajaan baharu sahaja meluluskan pembinaan 10 SJKC yang mengambil kira faktor berkenaan di Johor dan Selangor.
“Buka sekolah ini sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar adalah berasaskan kepada pertumbuhan kepadatan pendu­duk setempat. Kalau kita tengok­ di situ ada banyak kawasan pembangunan, kilang dan penduduk, yang mana memerlukan sekolah, maka kita akan bina.
“Kalau berasaskan tuntutan (Dong Zong) ini, tidak ada keperluan terdesak kerana perkiraan dibuat berdasarkan kepadatan penduduk.
“Tak perlu lagi kerana sehingga ini kerajaan luluskan pembinaan 10 SJKC di Johor dan Selangor berasaskan kepadatan penduduk di kawasan itu. Sekolah-sekolah ini akan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Bersama Kakitangan Kesihatan Daerah di pekarangan Pejabat Kesihatan Padang Terap, di sini hari ini.
Mahdzir mengulas tentang laporan tuntutan Dong Zong yang mendesak kerajaan membina 34 lagi SJKC setelah 10 SJKC baharu diluluskan pada akhir tahun lepas.
Mengulas lanjut, kata beliau, bagaimanapun kajian terperinci tentang pembinaan sekolah baharu akan dilakukan dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan dibuat kementerian.
“Penilaian akan dilakukan oleh pejabat pendidikan negeri (PPD) yang akan beri input terhadap pembinaan sesebuah sekolah berdasarkan justifikasi ditetapkan itu.
“Semua kena ada perancangan awal kerana pembinaan sekolah akan melibatkan banyak perkara termasuk pengambilan tanah dan kelulusan daripada majlis kerajaan tempatan sebelum diserahkan kepada kontraktor,” katanya.
Sumber : Utusan