AKTIVITI EKSTREM MENANTI PENGUNJUNG


2aktiviti
JITRA 2 Februari - Bina Darulaman Berhad (BDB) akan membangunkan fasa kedua Taman Tema Air Fantasia di Tasik Darul Aman, di sini dalam masa terdekat.
Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata, pembinaan fasa kedua berkenaan akan menyediakan aktiviti dan tarikan menarik kepada golongan dewasa.
“Fasa kedua ini pasti menjanjikan lebih keseronokan kepada pengunjung kerana kita menyediakan gelongsor yang lebih ekstrem dan mencabar untuk mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Taman Tema Air Fantasia di Tasik Darul Aman di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, taman tema fasa kedua itu dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
“Tujuan pembinaannya untuk menarik lebih ramai pengunjung dewasa supaya ibu bapa yang membawa anak-anak ke sini juga boleh menikmati pengalaman menyeronokkan,” katanya.
Izham berkata, sejak dibuka kepada umum November lalu, taman tema berkenaan berjaya mencatatkan 100,000 pengunjung dalam tempoh berkenaan.
“Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke taman tema air ini kerana kami sentiasa memastikan tahap kualiti air dalam keadaan baik dengan pemeriksaan setiap tiga jam.
“Malah BDB turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan pemeriksaan air dijalankan secara telus,” katanya.
Beliau berkata, Taman Tema Air Fantasia beroperasi setiap hari kecuali Selasa untuk memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penyelarasan operasi.
“Waktu hujung minggu kita akan beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 8 malam dan mulai jam 1 tengah hari sehingga 8 malam bagi hari biasa.
“Bagaimanapun, pada musim cuti sekolah dan cuti-cuti pelepasan am, taman tema air ini akan beroperasi seperti biasa,” katanya.
Katanya, pihak BDB juga menawarkan harga tiket pada kadar berpatutan iaitu RM18 bagi dewasa, RM15 bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) RM14 dan percuma bagi kanak-kanak di bawah dua tahun.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Fantasia di laman web rasmi kami, www.fantasia.bdb.com.my,” katanya
Terdahulu, Majlis Pelancaran Taman Tema Air Fantasia dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada maskot Fantasia iaitu Bee Bee, Rara, Rem dan Emut serta artis-artis jemputan.
Suasana majlis pada malam tersebut kemudian bertukar gamat dengan sorakan penonton apabila persembahan fire dance mengambil tempat di hadapan penonton.
Majlis yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob kemudian diakhiri dengan persembahan bunga api dari arah tasik.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar