TERUS DIBERI PENDEDAHAN ILMU ROBOTIK


24terus
JITRA 24 Januari – Kedah terus diberi kepercayaan untuk membangunkan teknologi robotik apabila 120 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 32 buah sekolah di negeri ini diberi peluang mengikuti Bengkel Robotik Dwengo Kedah-Belgium yang diadakan selama tiga hari bermula 22 Januari lalu di Dewan Damai Kelab Golf Bina Darulaman Berhad (BDB) di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, program ini julung kali diadakan oleh sebuah pertubuhan yang tidak berorientasikan keuntungan dari Belgium iaitu Dwengo-UGent dan Kedah dipilih menyertai bengkel itu selepas Argentina sebelum ini.
“Ini satu penghormatan kepada anak Kedah yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam bidang teknologi matematik, sains dan robotik dan perkara ini bukan baharu kerana Kedah telah melahirkan ramai saintis atau pakar sehingga memenangi beberapa pertandingan teknologi dan inovasi sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Program Bengkel Robotik Dwengo Kedah-Belgium di Hotel BDB di sini, hari ini.
Katanya, menerusi program tersebut, Universiti Gent, Belgium juga bersetuju bersama Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) untuk melaksanakan aktiviti robotik berasaskan sumber terbuka yang melibatkan pemindahan ilmu antara Belgium dan Kedah secara berterusan.
“Pihak Dwengo UGent juga bersetuju membekalkan peralatan dan kepakaran secara percuma untuk melatih pelajar-pelajar dan guru tersebut dari sekolah luar bandar yang dipilih menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Malaysia (JPM) di mana semua peralatan iaitu Kit Robotik disumbangkan kepada Pusat STEM Kedah untuk meneruskan program-program ini pada masa depan di sekolah,” katanya.
Katanya, penerimaan pelajar dalam bidang teknologi robotik sangat menggalakkan dan terbukti ramai pelajar yang terbabit sangat meminati bidang ini dan sentiasa menumpukan perhatian sepanjang bengkel berlangsung.
Norsabrina berkata selain pelajar terbabit, seramai 55 guru dari 55 buah sekolah turut menyertai bengkel terbabit bagi tujuan melatih guru-guru ini dalam ilmu robotik agar dapat berkongsi bersama pelajar-pelajar di sekolah masing-masing.
Sementara itu, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Dato Kemara, di Changlun, Muhammad Amsyar Hadif Abdul Rashid berkata, mempelajari ilmu robotik tidaklah sesukar yang disangka dan hanya dua jam sahaja dapat memahaminya.
"Mula-mula saya tidak faham dan rasa susah untuk memasang dan menggunakan program yang disediakan, namun setelah diajar oleh tenaga pengajar dari Belgium, saya dapat membina sendiri model robot dengan lancar bidang robotik ini tidaklah susah seperti yang disangka,” katanya.
Rakannya, Muhammad Zuhairi Mohamed Zukilan,11, berkata dia berasa sangat bertuah apabila dapat menyertai bengkel seumpama itu bersama rakan-rakannya yang selama ini hanya ditonton menerusi televisyen.
Sumber : Sinar