JANGAN BAKAR JERAMI SESUKA HATI


23jangan
ALOR SETAR 23 Januari - Golongan petani diingatkan tidak membakar jerami di petak sawah masing-masing secara sesuka hati selepas musim menuai padi nanti.
Kebimbangan itu disuarakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda yang mahu petani membakar jerami mengikut peraturan ditetapkan.
"Musim menuai padi akan tiba tidak lama nanti. Jadi, kita bimbang petani melakukan aktiviti pembakaran jerami di petak sawah mereka selepas musim menuai secara terbuka.
"JBPM Kedah memandang serius aktiviti pembakaran jerami kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini," katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2018 di Padang Kawad Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, hari ini.
Untuk itu, Abdul Razak berkata, beliau meminta petani memaklumkan terlebih dahulu aktiviti pembakaran jerami di petak sawah padi terlibat ke balai bomba berdekatan.
Menurutnya, petani diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran jerami ketika angin kencang, kerana dikhuatiri ia akan merebak ke tempat lain.
Terdahulu, Abdul Razak melakukan lawatan meninjau tanaman dan haiwan ditempatkan di Taman Rekreasi BBP Alor Setar selepas perasmian taman itu.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar