LEBUHRAYA KE PULAU BUNTING SIAP OKTOBER DEPAN


25lebuhraya
YAN 25 Januari - Projek jalan sambungan dari Lebuhraya Utara - Selatan ke Pulau Bunting, Yan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, sekarang ini kerja-kerja perlaksanaan sedang giat dijalankan.
"50 peratus kerja perlaksanaan projek sudahpun siap dilakukan dan selebihnya dijangka siap pada Oktober depan," katanya.
Katanya, projek jalan sepanjang 18.2 kilometer itu dibahagikan kepada dua peringkat iaitu jalan persekutuan hingga ke jambatan Pulau Bunting sejauh 14.9 kilometer dan jalan Gurun - Jeniang sehingga jalan Guar Nenas melibatkan jarak 3.3 kilometer.
Projek yang mula dibina pada tahun 2014 telah menelan belanja RM22,599,799.59 dan ia dijangka mampu memberi manfaat kepada kesemua pengguna jalan raya sekitar.
"Selain memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya ia juga dapat dimanfaatkan untuk tempoh jangka panjang.
"Insya-ALLAH untuk matlamat jangka panjang, kita akan membina pelabuhan di Pulau Bunting yang akan membantu dari segi perkembangan ekonomi," katanya.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar