RAMAI BELIA KURANG BERMINAT


23ramai
ALOR SETAR 23 Januari – Kerajaan negeri bimbang terhadap trend pertubuhan belia yang aktif semakin mengecil pada masa kini gara-gara golongan muda tidak berminat untuk berpersatuan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, terdapat 791 persatuan berdaftar dengan Pertubuhan Belia pada 2013, namun hanya 264 persatuan masih aktif sehingga kini.
Katanya, faktor kekurangan ahli dan bertukar kepemimpinan antara faktor persatuan yang aktif di negeri semakin mengecil dari tahun ke tahun.
“Lebih membimbangkan apabila golongan belia seolah-olah hidup atas dasar kepentingan diri. Alasan sibuk dengan urusan sendiri menyebabkan mereka tidak lagi berminat membabitkan diri dalam pertubuhan belia.
“Sikap ini secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak berminat untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya selepas program Sepetang Bersama Jaringan Muafakat Belia Kedah 2018 di Wisma Darul Aman, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan ne­geri, Mohd. Salleh Ramli dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Shamsul Bahar Abd. Rani.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri mewujudkan Jaringan Muafakat Belia Kedah bagi memastikan pertubuhan belia di negeri ini berada di landasan yang betul dalam usaha menarik lebih ramai golongan berkenaan terlibat dalam persatuan.
“Hasrat Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah) supaya semua belia di negeri ini membabitkan dalam persatuan. Golongan ini harus faham bahawa mereka adalah aset kepada kerajaan (negeri), pewaris kita dan pemimpin Kedah pada masa depan.
“Berikutan bilangan persatuan aktif semakin mengecil, maka menjadi cabaran kepada jawatankuasanya untuk menambah keahlian. Persatuan perlu memainkan peranan untuk menarik lebih ramai belia membabitkan diri dalam persatuan,” katanya.
Sumber : Utusan