MENDAHULUI PENERIMA DARJAH KEBESARAN


21dahului
ALOR SETAR 21 Januari – Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff mendahului senarai tiga penerima darjah kebesaran sempena ulang tahun hari keputeraan yang ke-76 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, hari ini.
Sultanah Maliha dikurniakan Darjah Kerabat Kedah (DK) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran di Istana Anak Bukit di sini.
Dalam istiadat tersebut, Sultan Sallehuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah kepada Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda.
Baginda juga berkenan me­ngurniakan gelaran Che Puan Besar Kedah kepada Datuk Seri Utama Hajah Haminah dalam istiadat berkenaan.
Istiadat pengurniaan darjah itu turut dihadiri Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Terdahulu dalam ucapan sembah tahniah, Ahmad Bashah berkata, Kedah kini berada di landasan terbaik hasil daripada asas pembangunan seimbang antara fizikal, sahsiah dan kerohanian seiring berkat naungan Sultan Sallehuddin.
“Patik sedar cabaran mengurus negeri ini semakin getir dan mencabar.
“Patik bertanggungjawab memastikan negeri Tuanku ini akan terus menempa lebih banyak kejayaan dengan berteraskan kepada permuafakatan antara rakyat dengan kerajaan. Atas tanggungjawab dipikul, patik berazam untuk memacu Kedah supaya lebih maju dan berdaya saing,” ujarnya.
Sumber : Utusan