MALAYSIA DAPAT LALUAN SELESA


23malaysia
ALOR SETAR 23 Januari – Skuad negara seharusnya berasa sedikit lega apabila mereka berdepan laluan selesa untuk layak ke kejohanan Piala Thomas dan Uber lebih awal tahun ini apabila diundi ke dalam ‘kumpulan selamat’ untuk Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, bulan depan.
Undian kejohanan itu, yang merupakan pusingan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber, me­nyaksikan skuad lelaki negara berada dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand dan Myanmar sekali gus mengelak daripada bertemu gergasi-gergasi Asia dan dunia yang lain seperti China, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.
Pilihan pertama kejohanan China diundi untuk berada dalam Kumpulan A bersama Hong Kong dan Singapura manakala Jepun diletakkan dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Nepal dan Kazakhstan.
Kumpulan D pula melibatkan Indonesia, India, Filipina dan Maldives.
Sementara itu bagi persaingan wanita, Malaysia diundi untuk berada dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Filipina.
Jepun selaku pilihan pertama kejohanan berada dalam Kumpulan A bersama India dan Hong Kong manakala China yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal bersaing dengan Indonesia dan Singapura dalam Kumpulan Z.
Pilihan ketiga, Korea Selatan diundi untuk berada dalam Kumpulan X bersama Taiwan, dan Maldives.
Empat pasukan terbaik lelaki dan wanita daripada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2018 akan mendapat slot automatik untuk beraksi dalam Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Mei depan.
Thailand selaku tuan rumah kejohanan berpasukan berprestij itu layak secara automatik.
Setiausaha Kehormat Persatu­an Badminton Malaysia (BAM) Datuk Ng Chin Chai jelas lega dengan hasil undian itu.
“Untuk pasukan wanita, saya fikir kita tidak berdepan masalah untuk layak ke suku akhir. Begitu pun, kita berharap mereka mampu menundukkan Thailand untuk berada di kedudukan teratas kumpulan bagi mendapatkan undian lebih baik di peringkat suku akhir.
“Begitu juga dengan skuad lelaki, laluan kita tampak mudah tetapi jangan terleka dengan Thailand kerana mereka ini ibarat kuda hitam yang mampu meranapkan harapan Malaysia untuk menjuarai Kumpulan C sekali gus berdepan laluan berliku di peringkat suku akhir nanti,” katanya selepas majlis undian di sini hari ini.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan