LUNAS KESELURUHAN KOS RAWATAN


17lunas
ALOR SETAR 17 Januari - Kerajaan negeri membantu melunaskan sepenuhnya kos perubatan penjawat awam Kedah, Mohd Radzi Abd Hadi, 56, yang mencecah hampir RM1 juta ketika menjalani rawatan di Hospital Dignity, California selepas mengalami serangan jantung di Amerika Syarikat, 9 Disember lalu.
Exco kerajaan negeri yang menguruskan kes berkenaan, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan Wisma Putra dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Amerika Syarikat, pihak hospital bersetuju menurunkan jumlah bayaran daripada RM800,000 (ASD 196,062.02) kepada RM141,000 (ASD 35,000).
“Pembayaran itu hendaklah dilunaskan sebelum 17 Januari, kerajaan negeri telah membuat pemindahan wang sebanyak RM141,000 untuk langsaikan kos rawatan diskaun itu kepada hospital, semalam (16 Januari),” katanya.
Menurutnya, perbincangan melibatkan kerajaan antara kerajaan agar masalah dialami keluarga itu dapat segera diselesaikan.
“Kita minta bantuan Wisma Putra melalui Pejabat Konsulat Jeneral sehingga berjaya peroleh diskaun sehingga 87 peratus. Pihak Konsulat Jeneral turut maklumkan keluarga pesakit akan lunaskan bayaran kos rawatan doktor pakar dengan menggunakan dana terkumpul hasil sumbangan orang ramai,” katanya.
Setakat 15 Januari, jumlah keseluruhan dana terkumpul adalah RM169,515, manakala bil hospital mencecah RM800,000, tidak termasuk bayaran doktor pakar berjumlah RM375,000 (ASD100,000) menyebabkan jumlah keseluruhan mencecah RM1juta.
Ku Abdul Rahman berkata, sebaik pihaknya dimaklumkan mengenai situasi Mohd Radzi yang juga kakitangan Pejabat Dewan Undangan Negeri Kedah, beberapa mesyuarat dilakukan bagi membincangkan bentuk bantuan.
“Saya sendiri berurusan dengan Wisma Putra kerana mahu percepatkan proses kerana kes libatkan luar negara perlukan bantuan pejabat konsulat. Setelah kos perubatan dibayar sepenuhnya semalam, Mohd Radzi boleh pulang ke Malaysia pada bila-bila masa,” katanya.
Menurutnya, kutipan dana yang dilancarkan menerusi laman web, Go Fund Me sebelum ini kini boleh ditamatkan.
“Semua kos sudah dibayar, kutipan dana tidak perlu diteruskan lagi. Kita bersyukur kerana pihak hospital berikan diskaun dan kerajaan negeri sentiasa ambil berat apa yang berlaku kepada rakyat Kedah,” katanya.
Ku Abdul Rahman berkata, difahamkan Mohd Radzi merancang untuk pulang ke Malaysia pada 13 Januari, namun dinasihatkan doktor untuk tangguhkan penerbangan.
“Walaupun kerajaan negeri gunakan kos yang tinggi, yang penting kita bertanggung jawab untuk bawa pulang rakyat kita. Ini isu kemanusiaan dan tidak wajar dipolitikkan,” katanya.
Pada 8 Disember lalu, Mohd Radzi sekeluarga tiba di Lapangan Terbang Los Angeles untuk menziarahi anak dan menantunya yang belajar di sebuah universiti di Arizona, sebelum dimasukkan ke Hospital Dignity, California akibat serangan jantung.
Beliau koma selama tiga hari dan dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan selama lima hari dan dibenarkan keluar wad pada 17 Disember.
Sumber : Sinar