IRONMAN DIJANGKA JANA RM33 JUTA


11ironman
LANGKAWI 11 November - Kejohanan Ironman Langkawi yang memasuki edisi ke-15 tahun ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM33 juta untuk Malaysia dengan hasilnya dinikmati penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, kejohanan itu menarik kira-kira 2,000 peserta dari lebih 60 negara yang turut membawa bersama rakan dan anggota keluarga ke pulau peranginan berkenaan.
“Selain pengusaha hotel dan pemain industri pelancongan lain, masyarakat tempatan turut dilibatkan dalam menjayakan kejohanan ini, khususnya para belia dari kampung-kampung sekitar yang menjadi penggerak urus setia dan lain-lain,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan peserta Ironman Langkawi 2017 di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan kerjasama penuh kerajaan negeri dalam penganjuran kejohanan Ironman Langkawi pada tahun-tahun akan datang.
"… mungkin ada kekangan daripada pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan peserta-peserta bimbang kejohanan ini tidak dapat diteruskan. Tapi kita akan cuba untuk pastikan ia berlangsung lagi tahun depan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) Datuk Zulkefli Sharif berkata peningkatan pendapatan itu sudah dijangka berikutan penganjuran serentak kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2017 kali ini.
"Ada peserta yang datang dua minggu lebih awal dan selepas habis kejohanan nanti, mereka akan tinggal di sini untuk beberapa hari lagi. Ini sekali gus dapat menambah pendapatan penduduk dan industri pelancongan di sini," katanya.
Katanya beliau juga akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk memastikan acara itu dapat dianjurkan pada tahun-tahun mendatang.
Sumber : Sinar