BERLATIH SEBUMBUNG LAHIRKAN JUARA


10berlatih
ALOR SETAR 11 November - Bermula Januari depan, barisan pemain pelapis dan junior negara bakal berlatih sebumbung dengan pemain senior di Bukit Kiara bagi membolehkan mereka memiliki fasaliti serta khidmat sokongan terbaik sebelum diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha yang diambil bagi memastikan pemain pelapis serta junior tidak 'tenggelam' apabila diberi kepercayaan untuk beraksi di peringkat senior.
“Cukup-cukuplah kita setakat menang di peringkat junior sahaja kerana setakat ini kita ada tujuh juara dunia di peringkat junior tetapi kejayaan itu gagal diteruskan di peringkat senior. Lihat bagaimana Viktor Axelsen yang dahulunya tewas kepada Zulfadli Zulkiffli di peringkat junior tetapi kini sudah menjadi juara dunia.
“Untuk itu, kita perlu konsisten dari segi pelaksanaan khidmat sokongan seperti sains sukan serta latihan intensif. Disebabkan itu, bermula Januari, kesemua mereka akan duduk sebumbung di Bukit Kiara bagi memastikan pemain junior dan pelapis ini menerima khidmat sokongan, sama seperti dinikmati pemain senior agar mereka tidak 'terkejut' dan lebih bersedia apabila ditawarkan beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM peringkat negeri di Dewan Persatuan Badminton Kedah (KBA) di sini hari ini.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu disertai 186 pemain muda dan 21 pasukan dari 14 sekolah di negeri ini.
Mengulas mengenai penganjuran liga tersebut, Norza berkata, pihaknya menerima kerjasama cukup baik dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang turut membantu melaksanakan program tersebut secara sistematik.
“Saya juga seronok apabila diberitahu terdapat keseimbangan penyertaan antara pemain lelaki dan perempuan. Itu menepati hasrat BAM selama ini yang mahu memperkukuhkan skuad Piala Uber negara, setanding dengan skuad Piala Thomas satu hari nanti,” ujarnya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan