BENTANG BAJET BERJUMLAH RM1.38 JUTA


12bentang
ALOR SETAR 12 November - Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Kedah 2018 berjumlah RM1.38 bilion dengan defisit RM75.72 juta berbanding anggaran kutipan hasil RM779.5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, Bajet Kedah 2018 yang tidak bernada populis semata-mata menagih undi itu memperuntukan RM855.22 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan RM532.2 juta perbelanjaan pembangunan.
“Anggaran hasil dan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri, Bajet 2018 menganggarkan defisit berjumlah RM75.72 juta atau 9.71 peratus .
“Unjuran defisit mencatatkan penurunan berbanding 10.28 peratus pada 2017 dan 14.95 peratus pada 2016.
“Ini satu testimoni bahawa kerajaan (negeri) ini berupaya menyediakan bajet realistik serta mampu dicapai berdasarkan kemampuan semasa,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurutnya, bajet yang berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu meningkatkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, merangsang serta mempelbagaikan asas ekonomi negeri sebagai persediaan menuju masa hadapan dan memastikan momentum pembangunan dan kemajuan yang seimbang serta berimpak tinggi dapat dicapai melalui langkah praktikal.
Terdahulu, DUN Kedah meluluskan usul sembah ucap takziah atas kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 11 September lalu setelah 59 tahun memayungi negeri ini.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan