PERKASA PERANAN MASJID


12perkasa
ALOR SETAR 12 November - Kedah terus memperkasakan peranan institusi masjid dan berusaha mencapai sasaran menjadi hab pendidikan sekolah pondok dan maahad tahfiz melalui pelbagai bantuan dan peruntukan besar dalam Bajet 2018.
Menerusi pembentangan selama hampir sejam pada persidangan Dun hari ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut memberitahu bahawa sejumlah RM4 juta akan disalurkan bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah.
“Selain itu, kerajaan negeri meneruskan pemberian dana pengurusan bernilai RM2,000 sebulan kepada 11 buah pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.
“Bagi 20 buah pondok dan 64 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, dana khas bersifat one-off diperuntukkan. Setiap pondok dan maahad tahfiz menerima RM10,000 melibatkan biaya keseluruhan berjumlah RM840,000," katanya.
Turut diteruskan dalam Bajet 2018 ialah geran berdasarkan bilangan pelajar di Sekolah Agama Rakyat dengan jumlah RM1.7 juta selain sejumlah dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan Maahad Tahfiz yang beroperasi di negeri ini.??
Sebagai lambang keprihatinan kerajaan negeri demi memastikan syiar dan syariat terus gemilang , Ahmad Bashah turut mengumumkan penubuhan Sekolah Rendah Maktab Mahmud yang akan menjadi ‘feeder’ kepada Maktab Mahmud peringkat menengah.
“Kedua, penambahbaikan 40 Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) di masjid dan dewan serta 12 buah Pusat Nury bagi jagaan kanak-kanak di dewan dan bangunan kerajaan. Kesemua pusat ini di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
“Ketiga, penajaan penuh biasiswa kepada 150 pelajar anak Kedah yang melanjutkan pengajian ke Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sesi depan dan menyokong hasrat Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk membina Kompleks Pendidikan Pondok Moden," katanya.
Kerajaan negeri turut mengumumkan biasiswa bagi Mahasiswa Anak Kedah yang sedang menuntut di Timur Tengah atau yang mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang agama.
???Dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat kecemerlangan masyarakat, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta pada bajet kali ini bertujuan membina, menaik taraf masjid serta surau di negeri ini.
Turut diumumkan ialah pelaksanaan program Barakah Masjid melalui peruntukan berjumlah RM3 juta dan jumlah yang sama turut diperuntukkan bagi seluruh masjid di Baling dan Sik selaku lokasi projek rintis yang akan berperanan sebagai Pusat Agihan Makanan kepada fakir miskin, asnaf dan golongan memerlukan.
"Peruntukan ini menjadi pemangkin agar masjid tidak lagi bergerak dalam keadaan yang terasing, sehingga anak kariah dan ummah di kawasan sekitar yang memerlukan pembelaan diabaikan," katanya.
Khabar gembira turut diberikan kepada golongan pegawai masjid apabila elaun imam turut akan dinaikan daripada RM800 sebulan kepada RM1,200, elaun bilal daripada RM750 kepada RM900 dan elaun siak daripada RM475 kepada RM700, membabitkan peruntukan berjumlah RM8.2 juta setahun.
Ahmad Bashah berkata, hasrat mewujudkan Pusat Latihan Imam Kebangsaan bagi melatih imam berpotensi dari seluruh negara pula akan dimuktamadkan penubuhannya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan lokasi dikenal pasti di parlimen Jerai.
Sumber : Sinar