UTUSAN PELAJAR GANTI TUTOR



11utusan
ALOR SETAR 11 Januari - Utusan Malaysia kini menerbitkan Bahan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21), Utusan Pelajar bagi menggantikan sisipan Tutor selaras dengan perubahan sistem pendidikan negara yang kini tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, Utusan Pelajar adalah sisipan pendidikan yang direka agar menepati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mengutamakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pembelajaran.
“Jika sebelum ini Tutor lebih bersifat bahan ulang kaji untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, Utusan Pelajar pula adalah bahan bacaan luas mengikut topik PAK-21 untuk semua pelajar sekolah.
“Misalnya pada minggu ini to­pik astronomi yang diketengah­kah tidak terhad untuk mata pelajaran Sains semata-mata, tetapi juga boleh digunakan sebagai bahan pembelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Dalam sisipan ini juga terdapat soalan-soalan ber­corak KBAT untuk merangsang kemahiran berfikir pelajar,” kata­nya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan 65 naskhah Utusan Pelajar kepada Pengetua Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Agama Kedah, Salmah Ishak.
Wahid berharap lebih banyak sekolah rendah dan menengah di seluruh negara melanggan Utusan Pelajar sebagai usaha menyema­rak pembelajaran dan pemudahcaraan (PdP) dengan infrastruktur sedia ada dalam bilik darjah.
Sementara itu Salmah berkata, sisipan Utusan Pelajar yang berharga RM1 senaskhah itu diharap dapat membantu PdP pelajar un­tuk mengembangkan potensi ma­sing-masing.
“Kita berharap usaha pihak sekolah melanggan Utusan Pelajar dapat membantu pembelajaran pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini dan merangsang kemahiran berfikir aras tinggi mereka. Pada pe­ringkat permulaan ini, setiap kelas akan mendapat dua naskhah Utusan Pelajar dan satu lagi akan diletakkan di perpustakaan,” ujarnya.
Dalam majlis berasingan, Wahid menyerahkan kira-kira 120 naskhah Utusan Pelajar kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendang, Nur Raimi Leong Abdullah yang turut melanggan sisipan pendidikan yang baru diper­kenalkan Utusan Malaysia.
Pihak yang berminat untuk mem­buat tempahan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada Sekretariat Utusan Pelajar, Fauzi Hamdan 019-5716282 atau menghantar surat permohonan rasmi melalui faksimili di talian 03-92212053.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan