TUNTUT BANTUAN MUSIM TENGKUJUH



28tuntut
BALING 28 Januari - Penoreh menuntut bantuan musim tengkujuh yang dibentangkan kerajaan dalam Bajet 2017 sebelum ini disalurkan segera.
Penoreh, Syed Zulkhairi Shah, 48, dari Kampung Charok Bendang berkata, bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan belum dilaksanakan.
“Jika boleh kami minta segerakanlah bantuan ini agar pendapatan yang terjejas waktu ini boleh ditampung,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet tahun lalu mengumumkan bantuan musim tengkujuh kepada penoreh bermula bulan November hingga Januari.
Penoreh, Ismail Tajudin, 53, dari Kampung Tanjung Pari berkata, pendapatan penoreh pada musim tengkujuh terjejas walaupun kenaikan harga getah mencecah lebih RM4 sekilogram ketika ini.
“Golongan penoreh sukar untuk turun ke kebun dan pendapatan kami terjejas kerana musim tengkujuh belum tamat. Bertambah buruk jika cuaca tidak menentu berlarutan hingga seminggu.
“Jika kerajaan dapat salurkan bantuan musim tengkujuh dengan segera dapatlah kurangkan beban untuk membeli barang keperluan di rumah,” katanya.
Penoreh, Md Nazri Hambali, dari Kampung Charok Bendang berkata, selain mempercepatkan pemberian bantuan musim tengkujuh, kerajaan digesa memastikan harga getah kekal di atas paras RM4 sekilogram.
Menurutnya, keperitan menanggung keluarga dengan harga getah merudum di bawah RM1.70 sen tahun lalu diharap tidak berulang.
“Dengan harga getah jatuh harga barang pula naik, kita pula nak makan anak beranak di rumah. Cukup-cukuplah harga getah jatuh sebelum ini, naik waktu nak pilihan raya dahulu kemudian naik balik bila hampir dengan tarikh pilihan raya.
“Kerajaan tolong pastikan harga getah jangan jatuh daripada RM4 sekilogram, jangan sewenang-wenangnya turunkan harga getah. Harga barang jika naik mana ada turun, harga getah juga kena pastikan begitu,” katanya.
Md Nazri berkata, perjuangan Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) yang mengambil berat masalah warga penoreh wajar disokong.
“Terima kasih diucapkan kepada Pergetah kerana bersusah payah dan bertungkus lumus mengambil berat masalah penoreh di kampung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pergetah, Mohd Taufik Yaacob berkata, bantuan musim tengkujuh perlu dipercepatkan kerajaan kepada semua penoreh di negara ini.
“Bantuan diumumkan itu sepatutnya diberi pada musim tengkujuh kerana waktu ini golongan penoreh tidak dapat menoreh dan mereka amat memerlukan bantuan berkenaan.
“Pergetah walaupun badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri Kedah, tetapi desakan Pergetah adalah bagi seluruh warga penoreh di Malaysia, kita mahu semuanya menerima manfaat,” katanya.
Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir
Sumber : Sinar