PERLU DANA TAMBAHAN RM300,000



9perlu
BALING 9 Januari - Masjid Al-Ittihad Kampung Tembak A memerlukan sumbangan berjumlah RM300,000 bagi meneruskan pembinaan tambahan fasa kedua dan membeli sebidang tanah.
Imam, Abu Bakar Che Doi berkata, pihak masjid berjaya menyiapkan fasa pertama setelah mengumpul dana sebanyak RM118,000 hasil sumbangan orang ramai.
Menurutnya, keseluruhan dana itu dibelanjakan untuk membeli bahan binaan serta menyiapkan tapak, rusuk bawah dan lantai masjid.
"Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang. Bagi fasa kedua, kita memerlukan dana sebanyak RM180,000. Masjid ini perlu siap pada 28 Februari tahun ini. Kita sasar untuk siapkan sepenuhnya pada Ogos tahun ini,” katanya, semalam.
Menurut Abu Bakar, dana itu juga akan digunakan p untuk membayar hutang kepada kedai pembekal barangan.
Selain itu katanya, sebanyak RM120,000 lagi akan digunakan untuk membeli sebidang tanah yang terletak bersebelahan masjid.
“Ada barang binaan diambil dahulu untuk siapkan infrastruktur. Dengan adanya dana seterusnya, kita mahu langsaikan semua hutang itu.
"Manakala, pembelian tanah itu pula bertujuan menyediakan ruang parkir untuk jemaah memandangkan kawasan sedia ada terhad. Tanah itu juga akan digunakan untuk membina bangunan tambahan pada masa hadapan,” katanya.
Abu Bakar berkata, perhatian daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditagih bagi mempercepatkan proses binaan.
“Pihak masjid sudah menyerahkan surat kepada ahli parlimen melalui JKKK lebih kurang tiga minggu lalu. Belum ada jawapan diterima daripada Ahli Parlimen Baling. Kita harap beliau dapat mempertimbangkan permohonan itu demi keselesaan jemaah.
“Sementara menunggu binaan tambahan siap, jemaah yang tidak dapat bersolat dalam ruang masjid, terpaksa bersolat di balai sementara,” katanya.
Ketua pertukangan, Nasir Du berkata, fasa kedua sedang giat dijalankan merangkumi binaan tiang serta pemasangan alang dan bumbung.
“Bagi fasa kedua, kita sudah memacak 15 tiang konkrit disusuli 30 lagi tiang. Kemudian baru dilengkapkan dengan pemasangan alang dan bumbung. Kita juga ada menyiapkan serba sedikit beberapa binaan bagi fasa ketiga,” katanya.
Timbalan Pengerusi masjid, Zelani Nik Chik berkata, sumbangan daripada semua pihak amat diharapkan dalam menyiapkan binaan tambahan masjid tersebut.
Oleh : Muhammad Amar Mubassyir
Sumber : Sinar