BERKONVOI SAMBIL KUMPUL DANA



9berkonvoi
SUNGAI PETANI 9 Januari - Seramai 70 penunggang motosikal menyertai konvoi ‘Ride Save Rohingya Skuad Muda 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (SM1JPJ) Kedah 2017’, di sini, Sabtu lalu.
Ketua SM1JPJ Kedah Mohamad Azam Ali berkata konvoi amal itu diadakan bertujuan mengisi Tabung JPJ Prihatin yang dilancarkan sempena Hari Bertemu Pelanggan JPJ Langkawi sejak sebulan lalu.
“Pada program hari ini, tabung Cawangan JPJ Sungai Petani akan digerakkan ke enam lokasi di Sungai Petani bagi mengumpul dana tabung berkenaan.
“Lokasi terlibat ialah Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya, Pasaraya Besar Mydin Taman Batik, Tesco Sungai Petani Selatan, Madrasah Nadhiroh At-Taqwa Lembah Bujang, Arked Tanjung Dawai dan berakhir di Jeti Semeling,” katanya kepada media sebelum pelepasan konvoi itu di perkarangan JPJ Sungai Petani di sini, kelmarin.
Pelepasan peserta konvoi disempurnakan oleh Ketua Cawangan JPJ Sungai Petani, Mohammad Jalil Mat Lazim.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Kedah, Iskandar Zulkarnain Mohamad Ali berkata konvoi membabitkan jarak sejauh 60 kilometer itu turut disertai ahli Kelab Sungai Petani City, diiringi dua unit Skuad Bermotosikal JPJ dan dua kereta peronda JPJ.
“Kita turut menempatkan tabung kutipan di kesemua tujuh cawangan JPJ di Kedah sejak sebulan lalu dengan sasaran kutipan menjelang akhir bulan ini dijangka mencecah RM10,000.
“Menerusi program hari ini pula, kita menyasarkan kutipan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 dari setiap lokasi dikunjungi selain hasil jualan kemeja-T dan pelekat serta cenderahati dalam kalangan peserta,” katanya.
Program berkonvoi itu turut diserikan sumbangan Badan Amal SM Amin turut mengagihkan kira-kira 2,400 aiskrim herba secara percuma di setiap lokasi kumpulan konvoi berkenaan singgah.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar