MINTA BANTUAN PUSAT JIKA KRITIKAL




    15minta
    KUALA NERANG 15 Januari - Kerajaan Kedah akan memohon bantuan daripada kerajaan Pusat sekiranya tahap air di beberapa empangan utama di negeri ini semakin kritikal.
    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Sumber Air Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, bantuan berkenaan perlu bagi memastikan tiga empangan iaitu Empangan Pedu, Ahning dan Muda terus dapat menyalurkan air bagi tujuan domestik, pertanian dan perindustrian.
    "Kita akan pantau keadaan malah bersiap sedia sekiranya keadaan semakin kritikal. Jika keadaan itu berlaku, kita akan panggil jabatan berkaitan untuk satu mesyuarat khas bagi mengatasi masalah ini.
    "Buat masa sekarang, antara langkah awal yang diambil ialah melakukan pembenihan awan di kawasan hilir dan selalunya ia memberi kesan positif," katanya ketika di temui pemberita di majlis perasmian Kejohanan Motocross Puncak Janing di Pusat Peranginan Puncak Janing di sini, hari ini.
    Bagaimanapun, pihaknya memberi jaminan bekalan air kepada penduduk tidak akan terjejas biarpun kapasiti hujan di kawasan hilir kini amat kurang.
    Beliau berkata, paras air di tiga empangan di Kedah dikhuatiri belum mencukupi untuk menampung bekalan bagi penanaman padi pada musim akan datang walaupun mencatatkan peningkatan susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
    Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan petani memandangkan fasa pertama penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan bermula pada 15 Mac, diikuti fasa kedua, ketiga dan keempat, masing-masing pada 28 Mac, 30 Mac dan 15 April.
    Sumber : Sinar