MANGSA DERA DISERAHKAN KEPADA JKM



26hak
SUNGAI PETANI 26 Januari - Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Sungai Petani memerintahkan hak penjagaan kanak-kanak mangsa dera dari Flat Paya Nahu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tempoh tiga tahun.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin berkuat kuasa semalam.
Mangsa, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun memakai baju berwarna merah jambu diiringi Pelindung Daerah Kuala Muda, Noor Liza Azezol ketika dibawa masuk ke pekarangan mahkamah menggunakan kenderaan milik JKM.
Pengarah JKM Kedah, Md Noor Chik berkata, perintah itu berdasarkan permohonan untuk meletakkan kanak-kanak di tempat selamat mengikut Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-kanak (pindaan) 2016.
Turut dibenarkan berada dalam mahkamah, nenek kandung kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia 48 tahun.
Md Noor berkata, mangsa diperintahkan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang selama tempoh tiga tahun.
“Sepanjang tempoh itu, nenek mangsa diperintahkan untuk melawat sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan dan kanak-kanak itu juga dibenarkan pulang bercuti sekiranya penjaga dapat menjamin keselesaan dan keselamatan semasa sepanjang bercuti,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa yang ditemui di luar mahkamah berasa lega dengan keputusan yang diperintahkan biarpun sedih kerana terpaksa berpisah dengan cucunya.
“Saya reda dengan keputusan yang dicapai, pada mulanya memang agak terkilan namun selepas mendengar nasihat beberapa rakan, saya terima dan mungkin ini yang terbaik demi keselamatan cucu saya,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak lelaki dua tahun maut didera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, 24 November lalu manakala kakak mangsa dilaporkan parah.
Dalam kejadian itu, si mati yang dikatakan sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu diletakkan dalam tong ikan berisi ais bagi menyembunyikan kematian, bagaimanapun kakak mangsa, ketika itu berusia empat tahun berjaya diselamatkan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.
Sumber : Sinar