KELUHAN DAPAT PERHATIAN LZNK



27keluhan
KUALA NERANG 27 Januari - Keluhan seorang isteri untuk mendapatkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga selepas suaminya terlantar akibat kemalangan, mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Siti Fatimah Che Mat, 50, dari Kampung Nako Nambua berkata, dia sekeluarga sungguh terharu apabila menerima kunjungan pihak berkenaan untuk melihat sendiri keadaan suaminya, Abd Kadir Awang Kechik, 55, yang terlantar dan semakin hilang ingatan.
Katanya lagi, keluarganya sangat berterima kasih kepada Pejabat Zakat Padang Terap, yang datang melawat dan mengambil maklumat mengenai suaminya itu.
“Kedatangan mereka cukup menggembirakan. Seolah-olah beban yang saya tanggung selama ini turut mendapat perhatian pihak berkenaan selepas disiarkan Sinar Harian kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Korporat LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pihaknya telah turun untuk membuat siasatan mengenai masalah keluarga yang memohon bantuan kewangan.
Kata Ahmad Hambali, pihaknya bersetuju untuk memberi bantuan bulanan RM450 supaya dapat menampung perbelanjaan harian mereka.
“Selain sumbangan bulanan, kita akan cuba beri bantuan lain seperti persekolahan dan keperluan semasa bagi meringankan beban keluarga ini selepas suaminya terlantar akibat kemalangan,” katanya.
Sumber : Sinar