KEDAH TIDAK LINDUNGI PENERIMA RASUAH




    31kedah
    JITRA 31 Januari - Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan akan terus menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada pegawai kerajaan negeri yang terlibat dengan rasuah.
    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, teguran mengenai bahaya rasuah sudah kerap kali dibuat dan sudah sampai masanya tindakan tegas diambil dengan mengheret yang terlibat ke muka pengadilan.
    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Penerangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Program Tranformasi Pemikiran Islam Malaysia (TRAPI) peringkat negeri Kedah di Dewan Wawasan di sini, hari ini.
    Ahmad Bashah mengulas kes seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri ini yang direman berhubung kes rasuah projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di Sik sejak 2012.
    Bagaimanapun suspek lelaki berusia 56 tahun itu dilepas dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 semalam.
    Forum hari ini menarik penyertaan kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada penghulu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pegawai masjid, imam, penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi.
    Forum anjuran kerajaan negeri Kedah bersama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Felo Kanan IKSIM, Karim Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Datuk Prof Mahamad Naser Disa.
    Sumber : Sinar