WARGA EMAS BERMAIN BOLING

21warga
KULIM 21 Disember - Usia tidak menghalang warga emas melakukan aktiviti kegemaran mereka apatah lagi jika ia bukan sahaja mampu mengeratkan sila­turahim malah menyihatkan badan.

Itu adalah antara fokus utama program Intergenerasi Karnival Sukan Boling Warga Emas Peringkat Bandar Baharu 2016 yang berlangsung dengan meriah di Ole-Ole Bowl Centre Kulim, Kedah di sini, baru-baru ini dengan penyertaan seba­nyak 59 warga emas.
Program itu anjuran Unit Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bandar Baharu dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Bandar Baharu.
Penyelaras program, Elyani Yusuf berkata, acara diadakan kali pertama ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara warga emas yang berada di daerah berkenaan.
“Peserta mengambil bahagian dengan penuh sema­ngat setelah mendapat sorakan dari anggota keluarga masing-masing bila berjaya menjatuhkan pin di pertandingan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Tambahnya, sehingga ini, seramai 125 orang penduduk tempatan yang berusia 60 ke atas menjadi ahli PAWE daerah itu.
Peserta, Zainab Mohd. Sutan, 64, dari Kampung Ee Guan Serdang berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi me­ngadakan pertandingan boling untuk warga emas adalah baik sekali.
“Sesetengah daripada peserta tidak pernah memegang bola boling tetapi bila berada di sini, mereka dapat menghayun bola itu dengan penuh semangat.
“Warga emas perlu diberi peluang tunjuk bakat dalam permainan bo­ling dan peserta nampaknya berpuas hati bila berjaya menjatuhkan pin yang disusun,” katanya.
Baharum Mohd. Taha, 63, dari Kampung Air Putih, Serdang berkata, aktiviti begini boleh memberi kebaikan kesihatan pada diri sendiri.
“Saya puas hati kerana program begini dapat mencergaskan anggota badan,” katanya.
Rosli Bakar, 62, dari Taman Cempaka, Selama berkata, program begini perlu diadakan lagi dari semasa ke semasa.
“Kita boleh melihat cara-cara warga emas menunjuk bakat ketika hayun bola boling, bukan mudah untuk melakukan langkah hayun bola itu,” katanya.
Zakaria Saad, 63, dari Kampung Leret, Bandar Baharu berkata, usaha begini boleh merapatkan hubungan baik antara peserta yang tinggal di sekitar Bandar Baharu.
Oleh : ABD. RAZAK OSMAN
Sumber : Utusan