MENGEMIS UNTUK ANAK

21mengemis
ALOR SETAR 21 Disember - Seorang wanita berasal dari Air Puteh, Pendang, mendakwa terpaksa mengemis demi menyara kehidupan lima anaknya.
Siti Norlisa Johari, 30, berkata, dia dan dua anak akan menaiki bas ke Bandaraya Alor Setar, sebelum meminta sedekah di hadapan sebuah premis di Simpang Kuala.
"Saya dah berpisah dengan suami sejak beberapa bulan lalu dan sekarang terpaksa mengemis sebab dah hilang tempat bergantung.
"Hampir dua bulan saya meminta sedekah sebagai sumber rezeki untuk beli barang keperluan harian seperti beras untuk kami anak beranak makan," katanya.
Menurutnya, dia akan membawa anak keempat, Nasya Mohd Zakir, 3, dan kakaknya, Siti Nurliana, 7, meminta sedekah sebelum pulang ke kediaman mereka.
"Lepas dah dapat duit antara RM20 hingga RM40, saya akan balik rumah.
"Kini dugaan bertambah berat bila anak bongsu berusia empat bulan pula dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman," katanya.
Siti Norlisa berkata, dia bernasib baik apabila anak sulungnya, Nurul Syakila, 15, membantu adik bongsunya, Putri Iman Nabila di hospital.
"Lebih memeningkan lagi saya belum lagi dapat sediakan keperluan sekolah anak sebab tak mampu.
"Saya berharap wang sedekah diterima dapat digunakan membeli barang keperluan mereka anak beranak termasuklah kelengkapan sekolah," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu,Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Mohd Noor Chik berkata, wanita berkenaan diminta ke pejabat JKM Pendang esok (hari ini) bersama dokumen diperlukan.
Beliau berkata,pihak mereka akan memproses permohonannya segera demi membolehkan wanita berkenaan mendapat bantuan.
Oleh : NURUL HIDAYAH HAMID
Sumber : Sinar