Masjid Al-Fateh Dapat Sumbangan 91 Buah Buku

4masjid
BANDAR BAHARU 4 November-  First Solar Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park menyumbang sebanyak 91 buah buku pelbagai tajuk kepada Masjid Al-Fateh Pekan Serdang.

Sumbangan buku bernilai RM2,000 itu dibuat sempena Program Mahabbah Komuniti First Solar 2014.

Imam Masjid itu, Rohaizat Jaafar menyifatkan sumbangan buku tersebut bermakna sekali dan ditempatkan di perpustakaan masjid. Komuniti di masjid berkenaan tentu gembira kerana bilik perpustakaan sekarang ini terdapat banyak buku agama untuk membuat pelbagai rujukan masing-masing.

Pengarah Urusan First Solar Malaysia Sdn Bhd, Pong Soo Hong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB. Norsabrina Mohd Nor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi turut hadir dalam majlis itu.

Inilah kali pertama syarikat berkenaan menyumbangkan buku agama itu setelah kilangnya beroperasi di Kulim Hi-Tech Park pada tahun 2008. Kilang ini juga bersedia memberi pelbagai kemudahan lain termasuk memasang papan solar di kawasan masjid tidak lama lagi.

YB. Norsabrina Mohd Nor ketika berucap merasmikan bilik perpustakaan itu memuji usaha syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu untuk mengadakan hubungan baik dengan komuniti tempatan.

Menurutnya, kewujudan kilang first solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim banyak memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sumber : UMTK