MURID SEKOLAH SASARAN PENGEDAR DADAH



    21murid
    ALOR SETAR 21 Disember - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah melahirkan kebimbangan tentang permasalahan dadah di negeri ini terma­suk laporan mengatakan murid sekolah rendah turut menjadi sasaran pengedaran dadah.

    Menurut beliau, kerajaan negeri menerima laporan daripada pihak berkuasa tentang trend tersebut sekali gus menghantui institusi keluarga terma­suk usaha kerajaan melahirkan insan cemerlang.
    Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar ibu bapa jangan leka dalam mendidik anak-anak dan mesti memantau pergerakan mereka setiap masa.
    “Pada mesyuarat Exco yang lalu saya mendapat laporan bagaimana anak-anak kita semakin terlibat dengan penagihan dadah. Saya risau apabila laporan peratusan penagihan dadah dalam kalangan pelajar agak tinggi.
    “Ini dilaporkan oleh pihak polis bahawa ada kumpulan sedang mencari sasaran dalam kalangan pelajar untuk menjual dadah, mula-mula mungkin air ketum kemudian dadah lain. Saya tahu ibu bapa sibuk dengan kerja mereka tetapi anak adalah anugerah Allah kalau kita tidak jaga mereka orang akan 'jaga',” katanya.
    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Gerak Nikmat Ke Sekolah (Genius) peringkat Parlimen Alor Setar di Seri Mentaloon di sini semalam.
    Dalam majlis tersebut seramai 1,000 murid sekolah rendah menerima bantuan persekolahan berupa pakaian, kasut, stokin dan beg sekolah.
    Mengulas lanjut kata Ahmad Bashah, usaha membentuk masa depan anak-anak se­harusnya bermula di rumah dengan komitmen padu daripada keluarga masing-masing.
    “Pastikan kita (ibu bapa) sentiasa pantau ke mana anak-anak pergi dan dengan siapa mereka berkawan. Kalau mereka sudah terjebak dengan dadah menangis air mata darah pun tiada guna lagi,” katanya.
    Menyentuh tentang program itu kata Ahmad Bashah, bantuan tersebut diberikan sebagai usaha meringankan beban penduduk dalam membuat persiapan persekolahan di seluruh negeri ini.
    Katanya, bantuan kini diagihkan di seluruh Parlimen kepada kira-kira 10,000 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
    Oleh : JAMLIAH ABDULLAH
    Sumber : Utusan