PENYERTAAN PERTAMA BERHASIL

19penyertaan
JITRA 19 Disember - Sepasang suami isteri dari Kampung Matang Mahang, Kerpan tidak menyangka penyertaan pertama mereka dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) di Serdang, berjaya mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan.
Menurut Che Aziz, 29, dia dan suami, Badrosham Puteh, 29, terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Usahawan Terbaik Laman Industri Asas Ternakan, baru-baru ini.
Katanya, mereka mewakili Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah bagi memperkenalkan burger bakar dan pelbagai jenis burger berasaskan hasil ternakan.
“Kami sangat berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang banyak membimbing perniagaan ini hingga layak menyertai pertandingan dan meraih kejayaan. Produk burger kami berjaya menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi pameran itu.
"Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat sambutan menggalakkan hingga mampu meraih RM28,000 dalam masa 11 hari. Burger arnab, kambing dan itik mendapat sambutan amat menggalakkan semasa jualan di Maha,” katanya.
Tambah Nurul Adnin, mereka sendiri tidak menyangka akan meraih kejayaan kerana ramai usahawan lebih hebat dengan produk masing-masing.
Katanya, kebanyakan peserta mempunyai pengalaman dan pernah beberapa kali menyertai pameran itu sebelum ini.
“Bagaimanapun, dengan bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menekankan kualiti, kebersihan, keunikan menu, pembungkusan menarik, pengurusan dan jualan yang banyak, kami berjaya dalam pertandingan itu.
"Kami akan dijemput Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekali lagi pada Maha 2018 supaya dapat meraih kejayaan di tempat lebih baik lagi,” katanya.
Nurul Adnin berkata, walaupun hanya menerima plak dan sijil penyertaan, tetapi sudah cukup untuk mengiktiraf perniagaan mereka.
“Insya-ALLAH, kejayaan ini memberi sokongan kepada kami untuk membesarkan lagi perniagaan di Kerpan. Kami mula berniaga secara kecil-kecilan dan kini mahu membuka kedai serta cawangan di tempat lain,” katanya.
Oleh : MOHD RIFAAT ABD HAMID
Sumber : Sinar