JIWA KENTAL BERUSIA 70 TAHUN



17jiwa
SUNGAI PETANI 17 Oktober - Kira-kira 212 peserta mengisi hari minggu mereka dengan menjayakan Kayuhan Basikal Demi Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia anjuran Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Aimst), semalam.
Kayuhan sejauh 30 kilometer itu bermula dari kampus Aimst dan melalui beberapa jalan termasuk Jeti Semeling Sungai Merbok; Universiti Teknologi Mara Merbok; Taman Rekreasi Tupah dan menamatkan kayuhan dengan kembali ke lokasi pelepasan.
Program bermula jam 7 pagi itu berjaya menarik penyertaan 212 peserta termasuk penuntut dan kakitangan universiti berkenaan.
Naib Canselor Aimst, Profesor Dr M Ravichandran berkata, program itu secara tidak langsung beri kesedaran kepada orang awam termasuk warga Aimst agar sentiasa cergas dan bergiat aktif.
"Program itu juga bertujuan membudayakan amalan berbasikal sebagai aktiviti dalam universiti, sekali gus menyemarakkan semangat Eko Kampus dan menerapkan nilai mesra alam dalam kalangan warga Aimst,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan program itu, semalam.
Sementara itu, penyertaan warga emas dalam program itu turut mencuri perhatian ramai antaranya bekas tentera, Abdul Hamid Desa dari Bedong, Kedah yang kelihatan bersemangat meskipun usia mencecah 70 tahun.
Abdul Hamid berkata, dia bersama beberapa rakan lain sentiasa mengikuti program berbasikal seperti itu bagi menunjukkan tanda sokongan.
“Saya memang suka pergi ke mana-mana naik basikal, lagipun saya tak tahu guna kenderaan lain. Saya pernah ambil bahagian kayuh basikal dekat Pantai Merdeka dan Georgetown,” katanya.
Zulkifli Mohamad, 70, turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam program itu.
Zulkifli berkata, aktiviti berbasikal secara beramai-ramai seperti itu memang sangat dinanti-nantikan.
“Saya minat berbasikal, sebab itu saya menyertai program ini. Penglibatan dalam program seperti ini merupakan sumbangan kecil saya dalam membantu memupuk kesedaran orang ramai untuk menjadikan basikal sebagai pengangkutan alternatif,” katanya.
Sumber : Sinar