SUAMI TERLANTAR SAKET



17suami
SIK 17 Oktober - Seorang isteri terpaksa bergantung dengan pendapatan bulanan sebanyak RM450 hasil mengambil upah mengutip sayur bagi menyara seorang anak berusia 9 tahun dan suami yang terlantar sakit akibat sakit buah pinggang tahap lima.
Isteri, Siti Rubiah Md Rejab, 36, berkata, pendapatan keluarga terjejas selepas suaminya, Sabri Ariffin, 50, yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah terpaksa berhenti kerja akibat sakit sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, suaminya tidak lagi mampu bekerja akibat penyakit ktitikal itu.
"Suami sakit sudah lama dan dia berhenti kerja atas nasihat doktor," katanya di kediaman ibu mertuanya di Kampung Padang Ragut di sini, hari ini.
Siti Rubiah berkata, kerana terpaksa bercuti menjaga suami, pendapatan mereka sekeluarga semakin terhad.
"Gaji sehari RM18 hingga RM20, sebelum suami sakit gaji boleh juga tampung keluarga, tetapi kini saya terpaksa ambil cuti banyak hari untuk jaga suami di rumah," katanya.
Difahamkan, Sobri menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik sebanyak RM230, namun jumlah itu tidak mencukupi .
Siti Rubiah berkata, pendapatannya turut digunakan bagi menanggung persekolahan anak, Mohd Hazim yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Chemara termasuk yuran.
Menurutnya, upah mengutip sayur itu juga adalah sebagai kos perjalanan menghantar suami ke Hospital Sungai Petani dua bulan sekali.
"Kami akan sewa kereta daripada kenalan-kenalan, bayaran kereta sewa dalam RM60.
"Jika tidak mampu saya akan hantar suami menaiki motosikal, sejak kebelakangan ini hanya cara itu yang kami mampu sebab kewangan tidak mencukupi," katanya.
Situasi menghimpit itu memaksa Rubiah meminjam wang daripada rakan-rakannya bagi memenuhi keperluan keluarga .
"Terpaksa buat macam itu, tapi sekarang ini saya tidak lagi berani pinjam sebab takut tidak mampu bayar semula hutang," katanya.
Ketika ini, tiga beranak berkenaan menumpang di rumah ibu Sobri akibat masalah bekalan air di kampung mereka di Kampung Chang Hai Dun Jeneri, sejak awal tahun ini.
Untuk sumbangan boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 02115-41-00010514-3 atau hubungi Siti Rubiah di talian 013-4070491.
Sumber : Sinar