PENDUDUK BERWASPADA HADAPI AIR PASANG



18penduduk
KEPALA BATAS 18 Oktober - Penduduk di sekitar kawasan Kuala Muda, Penaga mengambil langkah berjaga-jaga ekoran fenomena air pasang besar yang melanda tadi.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Kuala Muda mendapati ombak tinggi bermula sekitar jam 12 tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan(JKKKP) Kuala Muda, Mohammad Asri Hussain berkata buat masa ini penduduk sememangnya berwaspada dan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.
"Kalau tengok kepada keadaan, ditambah dengan laut yang beralun dan angin, kalau keadaan ini berlarutan kemungkinan air akan melimpah ke jalan.
"Namun, nasib baik kawasan sini terdapat bongkah batu, di mana sedikit sebanyak dapat menghalang ombak dan air dari melimpah, bagaimanapun, penduduk tetap berwaspada," katanya.
Katanya, buat masa ini penduduk di kawasan ini mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan.
"Kalau nak diikutkan air pasang besar kali ini tidak seteruk bulan lepas, namun apa-apa pun kami tetap berjaga-jaga.
"Sebelum ini pun, pihak berwajib ada melakukan rondaan sekitar kawasan ini," katanya.
Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan Saliran(JPS) Seberang Perai Utara, Saiful Rizan Sanusi berkata, orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran pantai dinasihatkan sentiasa berhati-hati.
"Buat masa ini, pihak JPS sememangnya memantau perkembangan semasa air pasang besar ini.
"Keadaan masih terkawal, dan di Seberang Perai Utara, belum lagi ada laporan berlaku limpahan akibat air pasang besar yang masuk ke dalam rumah," katanya.
Oleh : Muhammad Aminuralif Mohamad Zoki
Sumber : Sinar