ACARA BUKIT GEGARKAN TASIK BERIS



17acara
SIK 16 Oktober - Suasana sekitar Tasik Beris dekat sini meriah dengan kehadiran 837 peserta kejohanan Beris International Mountain Bike Jamboree 2016, baru-baru ini.
Walaupun pertama kali diadakan, pertandingan itu mendapat sambutan hebat dalam kalangan peminat aktiviti lasak basikal bukit dari dalam dan luar negara.
Menurut Pengerusi Jawatan­kuasa Penerangan, Pemba­ngunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, program yang pertama kali diadakan ini adalah untuk mempromosikan Kedah sempena Discover Kedah 2016.
“Pertandingan basikal lasak ini bukan sahaja diadakan untuk penduduk setempat keluar beriadah, tetapi dalam masa yang sama mempromosikan Sik sebagai destinasi pelancongan untuk masyarakat serantau.
“Acara diadakan di Tasik Beris memandangkan ia sesuai untuk aktiviti sukan berbasikal lasak kerana lokasinya yang menarik dan mencabar,” kata Mohd. Tajudin ketika merasmikan pertan­dingan tersebut.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Sik, Nawadzir Abdul Ghani.
Menurut Mohd. Tajudin, pe­nganjuran program tersebut juga melibatkan penyertaan peserta dari pelbagai negara antaranya dari Thailand, Singapura, Filipina, Jepun dan Hong Kong.
Terdapat empat kategori diper­tandingkan iaitu Kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Vete­ran dan Institut Pengajian Tinggi.
Kawasan persekitaran Tasik Beris dan lima kampung berhampiran menjadi pilihan penganjur­nya iaitu Pejabat Daerah dengan kerjasama dan sokongan daripada Harlie Venture Malaysia, Element Group (SEG) dan pelbagai lagi jabatan dan agensi kerajaan mahupun swasta dalam usaha mempromosikan daerah ini sebagai Daerah Eko dan Agro Pelancongan terkemuka di rantau ini.
Program ini juga mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan negeri yang menggalakkan pelancong terutama dari luar negara menikmati keindahan kha­zanah alam semulajadi negeri ini.
Kata Mohd. Tajuddin, pelancong luar dapat mengalami pe­ngalaman baharu iaitu melancong sambil bersukan kerana melancong ini tiada batas sempadannya.
“Selain itu, program sebegini dapat memberikan rahmat kepada penduduk kampung apabila mereka dapat menjana ekonomi dengan membuka gerai makanan dan minuman serta cenderamata untuk dijual kepada peserta mahupun pengunjung,” katanya.
Jelasnya, inap desa yang diusahakan oleh penduduk tempatan juga penuh dengan tempahan daripada peserta dan ini adalah satu peluang yang baik untuk mereka menambah pendapatan.
Dalam jarak sejauh 30 kilometer itu, peserta terpaksa melalui pelbagai laluan dan halangan termasuk anak sungai, bukit, becak, ladang kelapa sawit dan ladang getah.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan