RANGKA PELAN BANTU PENOREH GETAH




    2rangka
    ALOR SETAR 2 Mac - Kerajaan negeri akan merangka satu pelan bantuan khusus kepada penoreh getah dalam usaha meringankan beban golongan itu ekoran kejatuhan harga getah yang merudum sehingga RM1.65 sen/kg.
    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, selain bantuan barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai kepada penoreh getah, pihaknya akan kaji bentuk bantuan lain yang diperlukan golongan itu.
    “Perkara itu turut dibincang dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Kedah malam semalam, saya telah mendapatkan laporan awal daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Abd Azeez Abd Rahim mengenai keluhan penoreh. Saya akan pastikan bantuan disalurkan diperluaskan ke semua daerah dan diberikan kepada kumpulan sasaran, tanpa keciciran,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
    Menurutnya, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban tanggungan penoreh yang hidup dalam keperitan sejak kebelakangan ini.
    “Maklumat awal itu akan membantu saya merangka pelan bantuan bersesuaian untuk penoreh. Saya minta Exco berkaitan tinjau permasalahan dan keperluan penoreh secara dekat, termasuk pejabat daerah untuk terlibat sama dalam menangani kemelut ini,” katanya.
    Ahmad Bashah berkata, kesemua Adun dan Ketua Umno Bahagian juga perlu memberikan keutamaan dalam menyumbang idea membantu golongan itu.
    “Kita akan cuba setakat kita mampu. Kita akan cuba pastikan sumbangan diberikan sekerap yang boleh. Saya lihat pendekatan yang dibuat sebelum ini memberikan respons yang baik, Sebelum ini, Abd Azeez turut mengumumkan dana sebanyak RM1 juta akan diagihkan bantu pekebun kecil khususnya penoreh.
    “Biro Pertanian dan Kebajikan Umno Bahagian Baling akan bantu penoreh melalui dana terbabit, dimana usaha dibuat untuk mencari dan melaksana pertanian sampingan, selain menoreh,” katanya.
    Menurutnya, inisiatif itu akan dilaksana dengan kerjasama Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah).
    Pada Sabtu lalu, seramai 150 penoreh getah berhimpun di tapak pekan sehari Kampung Lalang, Siong mendesak kerajaan menaikkan harga getah yang kini berada di paras membimbangkan. Perhimpunan itu adalah yang keempat diadakan oleh rakyat dalam daerah Baling tahun ini.
    Sumber : Sinar