KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI TERHADAP PENEROKA



6keprihatinan
SIK 6 Mac - “Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang banyak membantu peneroka Felda Teloi Timur sehingga berjaya memperolehi surat hak milik tanah setelah lebih 30 tahun menunggu untuk mendapatkan surat hak milik tanah berkenaan”.
Itulah kata-kata yang diluahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, YB. Dato’ Haji Mohd Tajudin Abdullah kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah dan Penyerahan Notis 5A oleh Menteri Besar Kedah di Padang Awam, Felda Teloi Timur.
Menurutnya, penyerahan surat hak milik tanah dan notis 5A membuktikan bahawa Kerajaan Negeri begitu mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan menjaga kebajikan rakyat terutama kepada penduduk di kawasan luar bandar.
“Penduduk di kawasan luar bandar perlukan pembelaan. Setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat perlu ditangani dengan segera agar ianya dapat diatasi dengan sebaiknya,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, permasalahan yang membelenggu penoreh getah juga turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mencari kaedah yang terbaik dalam membantu golongan berkenaan.
“Masalah yang dihadapi oleh penoreh getah ini akan kita selesaikan dengan cara yang terbaik agar keperitan yang dihadapi mereka dapat dirungkaikan dengan lebih sempurna,” ujarnya.
Sumber : UMTK