Jeti, Pasar Ikan Dinaik Taraf

Oleh SAFINA RAMLI
20jetiMUKHRIZ Tun Mahathir (kiri) tersenyum apabila ditunjukkan ikan segar ketika meninjau jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan Kuala Jerlun di Jerlun, Kedah, baru-baru ini.

JERLUN 20 Februari - Nelayan dan peniaga ikan di kawasan Kuala Jerlun kini boleh menarik nafas lega apabila jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan di kawasan itu dinaik taraf dengan kos keseluruhan bernilai RM300,000.

Lebih 100 nelayan pantai dan 35 peniaga ikan di kawasan itu mendapat manfaat setelah pasar nelayan dan jeti pendaratan ikan itu siap dibaik pulih kira-kira setahun yang lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jeti pendaratan ikan dan pasar nelayan itu merupakan antara usaha yang dijalankan Kerajaan Pusat melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meningkatkan pendapatan para nelayan.

"Selain kemudahan untuk mendaratkan ikan di jeti yang lebih baik, kita juga beri kemudahan gerai supaya nelayan boleh memasarkan ikan sendiri tanpa menggunakan orang tengah.

"Pembeli juga boleh mendapatkan ikan segar dengan harga lebih murah di sini dan urus niaga dapat dijalankan dengan keadaan selesa di pasar nelayan Kuala Jerlun ini," katanya ketika ditemui di Kuala Jerlun di sini baru-baru ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi Parlimen Jerlun oleh LKIM untuk membaik pulih dan menaik taraf empat jeti iaitu jeti Kuala Jerlun, Kuala Kerpan, Kuala Tunjang dan Kuala Sanglang.

"Projek jeti pendaratan ikan dan pasar ini adalah manifestasi ikrar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendahulukan rakyat.

"Kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan yang susah akan terus terbela," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga ikan, Saloma Yaacob, 50, berkata, pasar ikan yang dinaik taraf itu memberikan keselesaan kepada peniaga yang menjalankan urusniaga.

"Dahulu kami berniaga dengan menggunakan pelantar kayu di merata-rata tempat yang tidak tersusun.

"Sekarang kami diberi meja besi di tempat yang tersusun serta bersih, jadi memudahkan pelanggan datang membeli ikan dan barangan laut lain di sini," ujarnya.

Selain itu, katanya, harga sewa meja besi dan tempat berniaga di pasar nelayan ini juga amat berpatutan iaitu RM1 sehari sahaja.

Suhaila Ismail, 38, yang juga seorang peniaga ikan berkata, dia gembira selepas diberi peluang untuk menjalankan perniagaan di pasar nelayan baharu ini.

"Saya sudah berniaga ikan sejak 10 tahun lalu, namun keadaan tempat kami berniaga tidak selesa seperti sekarang.

"Di pasar ini kemudahan yang disediakan memang selesa dan memberikan imej yang baik kepada peniaga ikan Kuala Jerlun," ujarnya.

Seorang nelayan, Zuraimi Zakaria, 38 pula berkata, jeti pendaratan ikan yang telah dinaik taraf itu memudahkan kerja-kerja nelayan untuk memasarkan hasil tangkapan mereka.

"Dahulu kami menjual ikan yang ditangkap kepada orang tengah dan hasil yang kami dapat tidak seberapa.

"Sekarang dengan adanya pasar nelayan ini, kami boleh berniaga sendiri dan seterusnya meningkatkan pendapatan," jelasnya.

Sumber: Utusan