PPDNKK RAMPAS 21,000 PAKAIAN TIRUAN




    26pdnkk

    KUBANG PASU 25 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri hari ini merampas kira-kira 21,000 helai pakaian berjenama disyaki tiruan dianggar bernilai RM1.85 juta di Taman Sri Pelangi, dekat sini.
    Serbuan ke atas tiga buah rumah pada kira-kira pukul 11 pagi melibatkan 20 anggota penguat kuasa itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama sebulan.
    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai pemilik pakaian berjenama tiruan berkenaan.
    “Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 30-an itu sedang leka menyusun pakaian tiruan berkenaan sebelum diedarkan kepada peniaga di seluruh negara.
    “Sehubungan itu, kita berjaya merampas 8,000 helai pakaian dipercayai tiruan jenama Adidas, Nike (8,000 helai), Puma (2,500 helai), Boss (1,500 helai) dan Warrix sebanyak 1,000 helai yang dianggar bernilai RM1.85 juta.
    “Selain itu, sebuah van yang dipercayai digunakan untuk me­ngedar pakaian tiruan dari Thailand itu ke seluruh negara turut dirampas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    Shahrudin memberitahu, modus operandi digunakan pemilik itu adalah dengan menyewa rumah berkenaan sejak dua tahun lalu dengan kadar RM500 sebulan bagi menyimpan stok pakaian tiruan berkenaan sebelum diedarkan.
    “Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
    “Kita juga akan memanggil pemilik kepada jenama tersebut untuk membuat pengesahan ketulenan pakaian yang dirampas hari ini,” ujarnya.
    Tambahnya, penjualan pakai­an tiruan itu berleluasa dipercayai kerana mendapat permintaan tinggi dalam pasaran ekoran har­ganya yang lebih murah selain faktor musim bola sepak tempatan yang berlangsung pada masa ini.
    Sumber : Utusan