PEMBANGUNAN UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT



6pembangunan
SIK 6 Mac - “Banyak perkara yang perlu dibincangkan untuk pembangunan Negeri Kedah. Dengan sokongan yang diberikan, kita akan lakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini”.
Itulah kata-kata yang diluahkan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada majlis jamuan tengahari selepas Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Perkarangan Pejabat Daerah Sik.
Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha dalam membangunkan Negeri Kedah melibatkan sektor pendidikan, ekonomi, pertanian dan perindustrian.
“Dengan perancangan yang lebih tersusun serta rapi, kita berharap Negeri Kedah akan berubah wajah dalam tempoh yang ditetapkan. Kita ingin melihat Negeri Kedah terus membangun sebagai sebuah negeri yang maju dan setanding dengan negeri-negeri lain,” jelasnya.
Menurutnya, Mesyuarat EXCO yang sebelum ini diadakan di Wisma Darul Aman telah diadakan di Daerah Sik iaitu di Pejabat Daerah Sik dalam usaha Kerajaan Negeri ingin membawa satu perubahan yang terbaik untuk rakyat di Daerah Sik.
Beliau berharap segala perancangan yang dirancang di setiap daerah-daerah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya yang secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada rakyat Negeri Kedah.
“Setiap apa yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk memberi keselesaan dan juga kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.
Sumber : UMTK