LAWATAN ISTERI MB KEDAH KE PDK SIK



6lawatan
SIK 6 Mac - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sik cukup bertuah dan teruja dengan kehadiran isteri Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hizam Awang Ahmad sempena majlis penyampaian bayaran elaun dan cenderahati kepada pelatih-pelatih PDK berkenaan.
Lawatan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hizam Awang Ahmad ke PDK berkenaan membuktikan bahawa isteri Menteri Besar Kedah itu begitu mengambil berat terhadap perkembangan kanak-kanak istimewa yang menghuni PDK itu.
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hizam Awang Ahmad dalam ucapannya berkata, PDK merupakan satu kaedah pembangunan komuniti untuk orang kurang upaya (OKU) di mana program pencegahan, pemulihan dan pembangunan boleh dilaksanakan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat.
Beliau memberitahu, konsep yang diterapkan oleh PDK adalah untuk mendekatkan perkhidmatan pemulihan dan intervensi awal untuk OKU di peringkat komuniti tempatan di samping memastikan penyertaan penuh dan integrasi social OKU dalam keluarga dan komuniti.
“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan penempatan jangka panjang di Institusi Pemulihan yang menyebabkan OKU disisihkan daripada keluarga dan komuniti. Ia diharap dapat menyediakan peluang untuk OKU membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi yang ada dalam diri mereka,” ujarnya.
Menurutnya, objektif utama penubuhan PDK adalah untuk menggalakkan sikap prihatin, berdikari serta sikap bertanggungjawab masyarakat tempatan dalam program pemulihan orang kurang upaya di samping menggalakkan penggunaan cara yang mudah dan teknik yang diterima, murah, efektif serta sesuai dengan keadaan setempat.
“Objektif penubuhan PDK mengambil kira sumber ekonomi negara dan membolehkannya untuk diperluaskan perkhidmatan yang menyeluruh mengikut keperluan OKU serta menggunakan infrastruktur organisasi tempatan yang sedia ada untuk memberi perkhidmatan,” jelasnya.
Tambahnya, faedah penubuhan PDK diharap dapat membantu golongan ibu bapa untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih terperinci mengenai cara mendidik kanak-kanak istimewa ini. Ibu bapa juga dapat berkongsi masalah yang dihadapi dengan ibu bapa yang mempunyai anak seperti mereka.
Sumber : UMTK