KERAJAAN BANTU JADI USAHAWAN CEMERLANG



10kerajaan
SIK 10 Mac - Pelatih GiatMara berpotensi menceburi bidang keusahawanan melalui pelbagai insentif yang boleh disediakan kerajaan kepada golongan berkenaan untuk membuka perniagaan sendiri setelah tamat latihan masing-masing.
Pengerusi Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, GiatMara adalah sebuah pusat latihan kemahiran yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir.
"Malah mereka berpotensi untuk mendapat bantuan berbentuk peralatan seperti mesin jahit, ketuhar dan sebagainya dalam usaha meneruskan kerjaya sebagai usahawan mengikut bidang masing-masing," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Latihan 1Malaysia dan Penyerahan Peralatan Program khas GiatMara di pekarangan GiatMara, hari ini.
Seramai 83 bekas pelatih menerima sijil dalam bidang kemahiran kek dan pastri, spageti, jahitan manik, solekan dan permotoran.
Yang turut hadir, Pengerusi GiatMara, Azian Osman; Pengarah GiatMara Negeri, Syed Rijalluddin Syed Ibrahim; Pengarah GiatMara Pulau Pinang, Rusli Abdullah dan Pengarah GiatMara Perlis, Hasanuddin Abdul Salam.
Sementara itu, bekas pelatih, Mohd. Firdaus Mansor, 18, berkata, peluang yang diberikan itu akan digunakan sepenuhnya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
"Saya membuka sebuah kedai membaiki motosikal secara kecil-kecilan di hadapan rumah dan akan terus menggunakan ilmu kemahiran yang diperoleh ini untuk meningkatkan kemahiran di samping membantu keluarga," katanya yang mempunyai kemahiran dalam bidang Teknologi Motosikal.
Rakannya, Siti Noraini Shuid, 20, berkata, dia bercita-cita mempunyai bengkel jahitan sendiri dan mahu berjaya sebagai seorang tukang jahit profesional.
"Saya akan meneruskan minat dan kerjaya dalam bidang jahitan kerana ia amat berpotensi bagi menjana pendapatan yang lumayan," katanya.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan