LONJAK TAMADUN ISLAM



10lonjak
ALOR SETAR 10 Mac - Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan lebih banyak sekolah agama terutamanya maahad tahfiz di negeri ini bagi memastikan Tamadun Islam terus subur dalam kalangan generasi muda.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan negeri juga akan sentiasa menghulur bantuan berterusan kepada sekolah-sekolah berkenaan dengan pelbagai inisiatif bagi memudahkan anak-anak di negeri ini untuk mengikuti pembelajaran khususnya ilmu berkaitan al-Quran.
“Bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri kita akan terus komited memastikan penghayatan al-Quran akan terus subur di Kedah.
“Budaya membaca al-Quran perlu dihidupkan semula terutama dalam kalangan kanak-kanak bagi mewujudkan semula generasi al-Quran yang dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah Tahun 2016 di Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kolej Universiti Insaniah, di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Zahari Ismail.
Majlis yang bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara itu disertai 10 qari dan qariah dari seluruh negeri bagi merebut gelaran johan yang bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000, piala pusingan, sijil penyertaan dan hadiah iringin serta pakej menunaikan haji tajaan kerajaan negeri.
Sementara tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 bersama hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Berucap lanjut, Ahmad Bashah turut melahirkan rasa kebimbangannya terhadap Tamadun Islam yang kini diambang keruntuhan ekoran sikap umat Islam sendiri yang semakin menjauhi al-Quran.
Menurut beliau, tamadun yang dulunya cemerlang kini menjadi semakin mundur disebabkan sikap umat Islam sendiri yang bergelumang dengan konflik, perbalahan sesama sendiri dan mementingkan diri sendiri.
“Hilangnya kegemilangan Islam pada masa ini adalah berpunca dari sikap kita yang menjauhi al-Quran dan tidak mengendahkan seruan dan panduan dalam kitab tersebut.
“Selagi al-Quran tidak diterap dalam kehidupan, umat Islam akan terus ditindas oleh musuh-musuh Islam,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan