MPPP BALING PERUNTUK RM2J BANTU PETANI



14Mppp
BALING 13 Mac – Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Baling memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi membantu golongan petani di daerah ini mengeluarkan hasil dalam skala besar.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan akan diberi dalam bentuk barangan keperluan pertanian se­perti mesin bagi memastikan golongan petani di daerah ini dapat menambah pendapatan mereka.
“Diharapkan para petani dapat menggunakan peralatan mahupun jentera yang diterima dengan sebaik-baiknya bagi memastikan mendapat pulangan pendapatan yang lumayan.
“Pemberian ini juga kerana kita ingin melihat pekebun getah tidak hanya bergantung kepada pendapatan menoreh semata-mata ekoran harga komoditi tersebut yang tidak stabil pada masa ini.
“Saya mahu mereka mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menjana pendapatan lebih lumayan dalam bidang pertanian, perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan peralatan MPPP kepada kumpulan pertama yang terdiri daripada 11 penerima di Kampung Dalam Wang di sini hari ini.
Menurut Abdul Azeez, petani yang mempunyai pendapatan rendah boleh membuat permohonan menerusi pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing untuk mendapatkan bantuan tersebut.
Sementara itu seorang pesara, Latif Yahaya, 58, yang menerima bantuan mesin pembajak berkata, mesin yang diperoleh itu dapat membantunya memperluaskan lagi projek tanaman sayur yang diusahakan sejak 14 tahun lalu.
“Saya bercadang menambah keluasan projek penanaman cili, timun, jagung, bendi dan sayuran lain di Kampung Sungai Limau dan Padang Cina.
“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi-agensinya seperti Jabatan Pembangunan Peladang Kawasan (PKK) dan Jabatan Pertanian, serta pemimpin tempatan yang sentiasa membantu dan prihatin dengan masalah rakyat,” katanya.
Bagi pengusaha madu kelulut, Mokhtar Khalid, 76, keprihatinan MPPP Baling memberi semangat untuk dia berusaha menambah hasil pengeluarannya.
“Pada hari ini saya menerima tiga sarang dan kelulut yang mana sedikit sebanyak dapat menambah pengeluaran madu. Saya telah mempunyai 20 sarang kelulut yang menghasilkan 40 botol madu dalam tempoh tiga bulan.
“Setiap botol madu kelulut dijual pada harga RM40. Saya berharap akan menerima bantuan supaya mampu meningkatkan lagi pengeluaran madu kelulut seterusnya menambah pendapatan saya,” ujarnya.
Sumber : Utusan