MYFEST DARULAMAN 2016



23fest
ALOR SETAR 24 Febuari - Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS) dengan sokongan Kerajaan Negeri Kedah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menganjurkan MYFest Darulaman 2016 yang julung-julung kali diadakan di Negeri Kedah Darul Aman.
Pengerusinya, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, program ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 25 hingga 27 Februari 2016 yang bertempat di Dataran Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.
“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda terutamanya Bumiputera bagi menimba ilmu pengetahuan sambil meningkatkan ekonomi masing-masing,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Hotel Holiday Villa.
Selain itu, katanya, bertepatan tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Negeri Kedah (Discover Kedah 2016), program ini mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar Negeri Kedah dengan diserikan pelbagai program yang menarik untuk manfaat semua lapisan masyarakat.
Beliau memberitahu, MYFest Darulaman 2016 ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB. Dato’Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 27 Februari 2016, jam 4 petang.
“Pelbagai pengisian telah diaturkan sepanjang berlangsungnya program ini dengan penglibatan jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan korporat dan swasta. Pengisian aktiviti ini meliputi beberapa segmen berdasarkan golongan sasaran iaitu kanak-kanak, belia dan masyarakat awam,” jelasnya.
Sumber : UMTK