KEGAWATAN EKONOMI TIDAK JEJAS PELANCONG



2kegawatan
ALOR SETAR 2 Januari - Keadaan kegawatan ekonomi dunia termasuk kejatuhan nilai ringgit tidak akan memberi kesan terhadap kedatangan pelancong sama ada tempatan mahu pun antarabangsa ke negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebaliknya keadaan tersebut akan dapat memberi kelebi­h­an kepada pelancong untuk memi­lih negeri ini dalam membelanjakan wang mereka untuk pembangunan industri pelancongan di Kedah.
“Sebaliknya, apabila berlaku kegawatan termasuklah masalah pertukaran wang asing, pelancong tempatan akan lebih cenderung untuk melawat destinasi tempatan kerana kalau ke luar negara kerana nilai ringgit yang kurang berbanding dahulu.
“Jadi, kalau RM1 dibelanjakan di Johor nilainya adalah sama dengan di Langkawi, lebih berharga di sini, tiada masalah. Bagi pelancong antarabangsa pula, jika nilai mata wang mereka lebih mahal akan menjadi satu tarikan pula,” katanya.
Beliau berkata demikian me­ngulas mengenai kesan kegawatan ekonomi dunia pada masa ini terhadap industri pelancongan negeri dalam sidang akhbar selepas menyem­purnakan Majlis Pelancaran Jelajah Kedah 2016 di sini malam tadi.
Pada masa sama, Mukhriz me­nyasarkan untuk menarik kehadiran sebanyak lima juta pelancong untuk datang berkunjung ke destinasi menarik yang ada di negeri ini setelah kempen tersebut dilancarkan.
“Pada tahun 2014 seramai 3.3 juta pelancong yang terdiri daripada 2.1 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa telah menginap di hotel-hotel seluruh Negeri Kedah. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 17.81 peratus daripada tahun 2013. Pertumbuhan positif ini memberikan harapan baik untuk mencapai sa­saran pada 2016 iaitu sebanyak lima juta pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan penglibatan sektor swasta untuk merancakkan pembangunan hotel bertaraf empat atau lima bintang di sekitar kawasan tanah besar negeri ini dan tidak tertumpu kepada Langkawi semata-mata.
Selain itu, beliau berkata, sudah tiba masanya sebuah inisiatif diba­ngunkan untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke kawasan tanah besar disebabkan terdapat pelbagai destinasi menarik seperti Gunung Jerai, Su­ngai Merbok, Sungai Sedim Canopy Walk, Air Panas Ulu Legong di Baling, Taman Rimba Ulu Muda, dan Pantai Merdeka.
“Seperti mengadakan kerjasama Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Kedah memasukkan promosi destinasi di tanah besar dengan pakej pelancongan di Langkawi,” katanya.
Jelasnya, pendekatan tersebut secara tidak langsung akan menarik perhatian kedatang pelancong bukan sahaja pusat peranginan terkenal itu malah ke tanah besar Kedah juga.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan