PEKERJA MAHIR KRITERIA TARIK PELABUR KE KEDAH



14pekerja
ALOR SETAR 14 Disember - Tenaga modal insan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang perlu disediakan terlebih dahulu sebagai syarat untuk menarik perhatian pihak industri memulakan operasi dan membuka kilang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, ini kerana aspek modal insan berkemahiran terutamanya dalam bidang teknologi tinggi antara kriteria dilihat pihak industri sebelum membuat keputusan memulakan pelaburan.
“Apabila pihak industri hendak masuk, mereka akan bertanya dahulu mengenai pekerja berkemahiran bagi bagi memenuhi keperluan.
“Jadi, kalau kita tidak bersiap sedia, maka tiada gunanya sekiranya ada taman industri di negeri ini jika akhirnya tenaga kerja diimport dari Selangor, Johor dan juga dari luar negara bukan di kalangan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan Bizchannel@Mara Karnival Permotoran Kedah 2015 di Stadium Darul Aman di sini semalam.
Program selama tiga hari anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu diadakan untuk memberi ruang dan pendedahan kepada belia me­ngenai pembudayaan minda keusahawanan dalam bidang automotif dalam usaha melahirkanusahawan berskala besar dalam bidang tersebut di negeri ini.
Suraya memberi contoh mengenai, senario yang berlaku di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di mana pihak industri memilih untuk berada di situ disebabkan adanya pekerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan mereka.
“Hebatnya di KHTP ini, terda­pat­ 20,000 pekerja mahir yang mana 85 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat negeri ini dengan gaji permulaan mereka peroleh sekitar RM6,900. Itu baru pada peringkat bawah belum yang tinggi lagi.
“Ini membawa maksud kehebatan sesuatu taman perindustrian itu hanya akan dinikmati kalau dapat disediakan dengan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman mengenai sesebuah industri amat diperlukan terlebih dahulu sebelum boleh membangunkan sebuah kumpulan tenaga kerja mahir untuk tujuan tersebut.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan